•  Mahfuz Omar Mahfuz Omar
1 / 1
KUALA LUMPUR - Pas menyarankan supaya Pakatan Rakyat (PR) kembali mengadakan perbincangan dan musyawarah dalam kalangan pimpinan utamanya.
 
Ketua Penerangan Pas Pusat Datuk Mahfuz Omar berkata perbincangan sesama pemimpin utama PR itu perlu bagi menetapkan hala tuju pakatan tersebut.
 
"Saya seru semua pimpinan pakatan (PR) supaya kembali ke meja perbincangan dan bermusyawarah sesama kita," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Pas Pusat di sini hari ini.
 
Beliau berkata semua pemimpin PR termasuk daripada DAP perlu berfikiran positif dan berjiwa besar dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
 
Isnin lepas, laporan sebuah portal memetik Penasihat DAP Lim Kit Siang sebagai berkata beliau tidak pasti sama ada PR akan terus bertahan sehingga pilihan raya umum ke-14.
 
Dalam pada itu, Mahfuz turut menempelak DAP kerana mempersoal kehadiran Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke beberapa mesyuarat Majlis Pimpinan PR.
 
Katanya DAP perlu memanggil Abdul Hadi untuk mesyuarat terlebih dahulu sebelum mengetahui sama ada presiden Pas itu hadir atau tidak.
 
"Panggil dulu baru tau dia (Abdul Hadi) datang atau tidak... kalau tak panggil mana nak tahu dia datang ke tidak," katanya.
 
Beliau turut menolak dakwaan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa Abdul Hadi kini tidak lagi berkomunikasi bersama pemimpin PR lain.
 
"Saya tidak fikir tak berlaku komunikasi kerana (Abdul Hadi) ada di Parlimen bersama pemimpin parti lain baru-baru ini," katanya. - Bernama