• NURUL IZZAH
1 / 2
KUALA LUMPUR - Hasrat kerajaan negeri Kelantan pimpinan Pas untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu bakal dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik PKR, esok.

"Insya-ALLAH esok kami (Biro Politik) akan ada pertemuan politik untuk memperhalusi perbincangan dalam hal ini, pada 3 petang di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor.

"Kita akan beri kenyataan rasmi selepas pertemuan esok," kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar kepada pemberita selepas menemui penduduk di Jalan Bukit Pantai, Bangsar, di sini, hari ini.

Isu hudud kembali menjadi polemik dan hangat diperbahaskan apabila Konvensyen Nasional DAP 2014 pada minggu lalu meluluskan sembilan resolusi merangkumi 32 perkara termasuk menolak cadangan melaksanakan hukum hudud yang diperjuangkan Pas.

Pada konvensyen itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa PR untuk menjelaskan pendirian mereka untuk tidak melaksanakan hudud jika mahu menang pada pilihan raya akan datang.

Sementara itu, kerajaan negeri Kelantan akan mengadakan sidang khas Dun Kelantan pada 29 Disember ini untuk meminda Kanun Jenayah Syariah II bagi membolehkan sebahagian hukum Hudud dilaksanakan di negeri itu.

Cadangan Kelantan itu bagaimanapun menimbulkan konflik dalam PR di mana DAP menentangnya manakala Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap cadangan itu bermasalah.