• Nurul Izzah Anwar Nurul Izzah Anwar
1 / 1
SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] PR akan segera menyelesaikan kemelut yang berlaku antara Pas dan DAP berhubung isu hudud yang menjadi pertikaian antara dua parti itu.

Naib Presiden PKR,  Nurul Izzah Anwar berkata,  PR akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat bagi membincangkan hal itu.

Beliau berkata, mesyuarat itu akan dipengerusikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dalam minggu ini.

“Kita juga akan keluarkan kenyataan media dalam tempoh terdekat berhubung isu ini,” katanya semalam selepas hadir menyerahkan petisyen bantahan terhadap pentadbiran Universiti Malaya (UM) berhubung tindakan kepada tujuh pemimpin pelajar dikenakan tindakan disiplin.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hudud: Sudah 20 tahun Pas tunggu]

Ketika ditanya mengenai pendirian PKR berhubung isu itu, Nurul Izzah enggan mengulas lanjut dan mengulangi kenyataannya yang perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat PR.

Sementara itu Setiausaha PKR Selangor, Amirudin Shaari berkata, isu hudud adalah satu keputusan dasar dan ia perlu diselesaikan secara mesyuarat bersama komponen PR.

“Hudud ialah keputusan dasar tidak boleh diselesaikan dengan kenyataan media dan berseorangan. Kena ada perbincangan bersama.

“Pas perlu terbuka untuk memperkemaskan hudud. Sebelum ini Pas maklumkan nak tubuhkan jawatankuasa untuk beri pemahaman tentang hudud jadi proses itu harus dijalankan, tidak boleh dilaksanakan begitu sahaja,” katanya selepas sidang media Program Temasya Selangor, di sini, semalam.

Adun Batu Caves yang juga Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor itu, turut menegaskan, tidak timbul masalah mahupun desakan agar salah satu komponen perlu keluar PR hanya kerana percanggahan isu hudud.

“Tidak timbul isu siapa keluar PR...perkara ini sudah saya sebutkan dengan jelas bahawa pada ketika ini dasar PR belum lagi memasukkan hudud sebagai dasar utama pakatan.

“Hudud kita tidak boleh tolak tetapi sebelum pelaksanaannya, ada beberapa isu tentang kejujuran, jurang ekonomi, keadilan sosial yang ada dalam maqasid syariah seperti disuarakan Anwar Ibrahim. Perkara itu harus diberi keutamaan awal sebelum hukum ini dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut menggesa pemimpin PR harus menghormati agenda setiap rakan dalam pakatan.

“Pemimpin PR harus menghormati pandangan-pandangan rakan kita seperti Pas yang telah meletakkan hudud sebahagian daripada agenda ditetapkan sekian lama dan agak mustahil untuk Pas menggugurkan hudud," katanya.

Beliau turut menegaskan, PKR memberi ruang kepada Pas untuk membuat keputusan dan ketetapan untuk menyelesaikan perkara ini.

“Kalau itu isu Pas, kita bagi ruangan kepada Pas membuat ketetapan dan penyelesaian, bukan menjadi hal ataupun isu kepada PKR.

“Kita (PKR) ada sifat  menghormati pandangan Pas terhadap penyelesaian dalaman mereka tapi dengan badan bukan kerajaan  (NGO) kita teruskan hubungan seperti biasa,” katanya.

Kelmarin, DAP diberi kata dua sama ada menghormati keputusan Pas Kelantan untuk melaksanakan hudud atau keluar daripada PR.