• Mohd Zaidi Mohd Said Mohd Zaidi Mohd Said
1 / 1
SHAH ALAM - Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh sekiranya dipanggil beri keterangan berhubung ucapannya di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

“Hingga setakat sekarang saya belum dipanggil lagi…jika di panggil saya akan beri kerjasama.

"Maaf lambat jawab kerana saya berada di luar negara,” katanya menerusi kiriman Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada Sinar Harian Online, hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Mohd Zaidi jelaskan kenyataannya kena ‘spin’]


Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas laporan akhbar mengenai desakan MCA supaya polis menyiasat perbahasan beliau di Perhimpunan Agung Umno yang didakwa berbaur perkauman.

Sementara itu, kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sekiranya benar ada perwakilan Umno yang mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman, mereka boleh disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

“Sekiranya ada unsur perkauman dalam ucapan seseorang individu itu, tidak kira semasa Perhimpunan Agung Umno atau bila-bila sahaja, mereka boleh disiasat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Graduasi Program Latihan 1,000 Wanita anjuran Yayasan Gerakan Afirmatif Baharu di sini, semalam.

Khairy menekankan, kewujudan Akta Hasutan bukan untuk melindungi satu kaum sahaja tetapi untuk semua kaum di negara ini.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini memberi mesej yang jelas bahawa Akta Hasutan ini wujud bagi mempertahankan semua kaum dan agama di Malaysia,” katanya lagi.