• Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood
1 / 1


SHAH ALAM – Penarikan gelaran ‘Datuk Seri’ oleh Sultan Selangor terhadap Datuk Anwar Ibrahim merupakan petanda agar Ketua Umum PKR itu tidak lagi terlibat dengan sebarang bentuk pentadbiran di Selangor.
Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, langkah itu dilakukan Sultan Selangor bagi memastikan Anwar tidak mencampuri urusan pentadbiran negeri ini.

“Saya yakin ia bukan berkaitan dengan integriti tetapi isu utamanya, sultan tidak mahu Anwar ada kaitan dengan Kerajaan Selangor.

“Anwar banyak menimbulkan konflik dalam pelbagai isu sehingga menyebabkan kemurkaan Sultan Selangor,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, sekiranya Anwar enggan melepaskan jawatan sebagai Penasihat Ekonomi Selangor, dijangka akan timbul konflik lain kerana sultan berkemungkinan akan mempersoalkan tindakannya.

“Bukan sahaja sultan, rakyat juga mempersoalkan tindakan Anwar jika beliau tidak mahu berbuat demikian (melepaskan jawatan). Tidak mustahil wujud satu lagi konflik Anwar dan istana,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali akan menjadi orang perantara Anwar dengan pihak istana bagi menjawab isu berkaitan ekonomi Selangor.

“Sampai bila Mohamed Azmin menjadi orang perantara? Ia akan menyukarkan lagi keadaan dan cara terbaik adalah Anwar perlu melepaskan jawatan tersebut,” katanya Beliau berkata, Anwar perlu mengambil iktibar dan tidak menyalahkan mana-mana pihak.

Katanya, Anwar perlu memperbaiki diri dengan tidak lagi melakukan perkara-perkara yang boleh mengundang kemurkaan Sultan.

“Saya harap Anwar dapat belajar dari kesilapan,” katanya.

Kelmarin, Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik darjah kebesaran Anwar berkuat kuasa 3 November lalu atas alasan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu banyak mempersoalkan kewibawaan dan kuasa Sultan Selangor serta institusi raja dalam menyelesaikan kemelut pelantikan menteri besar.