• Datuk Abdul Rahman Dahlan Datuk Abdul Rahman Dahlan

1 / 1
SHAH ALAM –  Persepsi bahawa parti politik institusi paling korup tidak dapat dielakkan memandangkan ia berkait rapat dengan kuasa dan jawatan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Rahman Dahlan berkata, tanggapan itu bukan perkara baharu, malah turut berlaku di negara lain.

“Masyarakat selalu marah kepada mereka yang ada jawatan kerana anggap mereka pasti terlibat dengan rasuah, tetapi bagi saya ini tanggapan salah.

“Bukan semua terlibat dalam politik atau ada jawatan amalkan rasuah. Persepsi ini perlu diperbetulkan,” katanya.

Katanya, kebanyakan persepsi hanya didorong oleh emosi tanpa bukti kukuh.

“Politik berkaitan perasaan dan emosi. Kalau tak suka seseorang, senang saja nak lemparkan tuduhan.

“Alasan paling mudah apabila ada masalah ialah kerajaan amalkan rasuah. Ia bukan fakta,” katanya.

Beliau mengulas laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2014 yang meletakkan parti politik institusi dianggap paling korup di Malaysia.

Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, proses menjadi ahli politik dalam sesebuah parti perlu mengikut cara yang betul bagi mengelak berlaku amalan rasuah.

Menurutnya, amalan membelanjakan wang yang besar bagi dapatkan sokongan dalam pilihan raya sepatutnya tidak berlaku kerana perkara berkenaan dilihat sebagai salah satu punca berlakunya rasuah yang lebih besar.

“Contoh paling senang boleh saya katakan adalah sebelum seseorang itu menjadi wakil rakyat, mereka menggunakan kuasa wang untuk meraih undi rakyat sewaktu kempen pilihan raya.

“Kita tidak tahu dari mana datangnya wang  itu,” katanya.

Katanya, langkah mengaudit kewangan pemimpin merupakan langkah bijak menghalang gejala rasuah.

Tanggapan boleh diubah

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, kerajaan telah mewujudkan Jawatankuasa Khas Menangi Rasuah melibatkan keahlian dari parti politik kerajaan dan pembangkang.

“Saya juga seorang ahlinya. Kami amat serius menangani rasuah di semua peringkat.

“Jawatankuasa ini akan pastikan setiap gerakan memerangi rasuah bukan hanya terletak pada parti kerajaan tetapi pembangkang,” katanya.

Katanya, perkara paling mencabar adalah mengubah persepsi terhadap rasuah di kalangan ahli politik.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pula berkata, agensi dalam kerajaan dan parti politik, tidak boleh cepat berpuas hati dengan peningkatan yang berlaku dalam keputusan CPI 2014.

Menurutnya, sasaran lebih tinggi perlu diletakkan bagi memberi imej lebih baik kepada kerajaan.

“Peningkatan itu patut dialu-alukan, tapi ada beberapa perkara perlu dilihat. Namun, sudah tentu kita tidak boleh puas hati (dengan kedudukan ke-50). Mungkin sasaran kita selepas ini pada tangga ke-30 atau bawah 20,” katanya.

Mengenai anggapan bahawa parti politik paling korup, Ahmad Shabery berkata persepsi itu boleh diperbaiki.

"Contohnya Umno sudah lakukan perubahan melalui peraturan mengundi bagi jawatan yang ditandingi kepada khalayak yang lebih besar untuk kurangkan insiden politik wang,” katanya.

Laporan CPI 2014 Transparency International Malaysia Rabu lalu menunjukkan Malaysia naik tiga anak tangga, dari tempat ke-53 tahun lalu ke-50 tahun ini.