Thursday, December 11, 2014
Usaha kurangkan nada 'resah' dalam Pakatan
Sewaktu pemimpin veteran DAP Lim Kit
Siang dapat menghidu sesuatu yang tidak kena dalam Pakatan Rakyat
sehingga meragui masa depan gabungan itu menjelang pilihan raya umum
ke-14, beberapa pemimpin utama gabungan pembangkang itu cuba
mengurangkan nada keresahan itu.
Dan
ketika Lim mengakui ada 'sisi-sisi rekahan' sehingga Majlis Pimpinan
Pakatan Rakyat tidak bersemuka lebih daripada setengah tahun, beberapa
pemimpin Pakatan Rakyat dilihat cuba menyembunyi keresahan tersebut.
Secara teknikalnya, beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat seperti Naib
Presiden PKR Rafizi Ramli, Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Hatta Ramli dan
Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat mengakui wujud mesyuarat Majlis Pakatan
Rakyat berlangsung pada November lalu.
Tetapi hanya sebahagian kepimpinan utama Pakatan sahaja hadir dalam
Majlis Presiden Pakatan Rakyat antaranya disebabkan pertindihan jadual
dan masalah kesihatan yang dihadapinya.
Hal demikian menyukarkan gabungan itu untuk mendapat konsesus dalam isu nasional dalam satu suara.
Bercakap kepada Malaysiakini, Rafizi yang juga MP Pandan
berkata kebimbangan Lim itu ada asasnya sekalipun secara umumnya Pakatan
Rakyat dilihat berjalan secara normal dan lancar.
"Saya fikir sikap ambil berat YB Lim Kit Siang disebabkan tanpa
kehadiran penuh mesyuarat Majlis Presiden bagi kepimpinan tertinggi, ia
sukar bagi mengesahkan semula pandangan umum bahawa semuanya baik dalam
Pakatan dan saya fikir ia ada asasnya.
"Mungkin apa yang dimaksudkan oleh beliau (Lim Kit Siang) adalah
kehadiran penuh (pemimpin utama Pakatan termasuk Hadi). Secara
teknikalnya mesyuarat terakhir Majlis Pimpinan Pakatan (berlangsung)
pada November lalu.
"Saya rasa apa yang dimaksudkan oleh Lim hanyalah Mesyuarat Majlis
(Presiden) Pimpinan Pakatan kerana (kami) berusaha untuk mencari masa
untuk membolehkan kehadiran penuh semua pimpinan atasan yang menjadi
kesulitan," katanya.
Jawab isu nasional
Bagaimanapun kata Rafizi, pemimpin Pakatan bagi lapisan kedua - Majlis
Setiausaha Pakatan Rakyat, mesyuarat jawatankuasa polisi dan whip
parlimen - berjalan lancar dan begitu baik sekali.
"Mesyuarat bagi jawatankuasa peringkat bawah berjalan lancar tanpa
gangguan. Jadi, kami ada Majlis Setiausaha Agung, yang memantau
perjalanan Pakatan Rakyat keseluruhannya.
"Kami juga mempunya mesyuarat jawatankuasa polisi, kami juga ada
mesyuarat whip parlimen. Semuanya berjalan dengan cukup baik," katanya.
Sungguhpun begitu, Rafizi yang juga setiausaha agung PKR mengakui
mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menjadi sia-sia apabila satu
pihak atau kepimpinan tertinggi parti komponen tidak hadir dalam sesuatu
mesyuarat itu ada beberapa isu.
"Dan setiap kali bertemu, kita menjawab kepada isu nasional pada waktu
itu secara kolektif, dan kami mempunyai beberapa isu nasional sekarang
seperti harga minyak, (kejatuhan nilai) ringgit, pendidikan. Banyak isu
nasional seperti masa lalu, Pakatan Rakyat akan menjawab secara kolektif
sebagai satu blok.
"(Tetapi) bila kita tidak boleh mengadakan mesyuarat Majlis Presiden
(kini), maka kita tidak boleh menjawab isu tertentu secara kolektif, dan
isu itu banyak," katanya.
Sementara
itu, Ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dilihat lebih
berterus terang mengakui kewajaran kebimbangan Lim dengan menyatakan ia
adalah "rahsia umum dan tiada ada apa yang perlu disembunyikan",
sementara Suhaizan pula berkata "tidak ada masalah yang tidak boleh
diselesaikan".
Kedua-dua pemimpin kanan PAS itu merujuk kepada isu berbangkit sekitar
krisis menteri besar Selangor yang bermula sejak Januari lalu dan isu
perdebatan hukum hudud.
Namun Dr Dzulkefly memandang kebimbangan Lim itu secara positif dengan
mengajak semua kepimpinan utama Pakatan Rakyat mengenal pasti bahawa
kadangkala wujud krisis yang boleh memecahkan dalam sesuatu pertubuhan
bahkan ada juga pergeseran tetapi akhir mempertaut semula
kepimpinannnya.
"Analogi yang sama juga, kita faham dalam perkembangan sesebuah
organisasi, pada saya, apa yang kita lalui bukan perkara yang asing.
Kenyataan daripada orang yang berpengalaman dalam kepimpinan dan
pertubuhan, saya rasa tidak perlu bimbang atau rasa takut mengenainya.
Berjiwa besar
"Tetapi, pada masa yang sama, saya mahu mengingatkan pemimpin atasan
supaya memahami bahawa kita baru sahaja keluar daripada krisis dan amat
penting untuk mengenalpasti puncanya, dan apa yang perlu kita belajar
dan bagaimana kita perlu mengelaknya pada masa depan dengan langkah yang
konkrit perlu diambil," katanya.
Di samping tidak boleh menafikan gabungan itu berdepan kesukaran dan
cabaran ketika ini, bekas MP Kuala Selangor itu berkata jika Pakatan
mahu menyelesaikan masalah dan diyakini mampu membina Malaysia yang
lebih baik, maka gabungan pembangkang itu perlu diperkukuhkan.
"Maka
pada saya tidak ada pilihan kecuali pemimpin atasan mesti kembali ke
meja dan berunding dan melakar pelan kita, menghentikan menyalahkan satu
sama lain dan meletakkannya di belakang," katanya.
Saranan Dzulkefly disambut oleh Ketua Penerangan Datuk Mahfuz Omar yang
menyeru kepada semua pimpinan Pakatan di semua peringkat supaya
berfikiran positif dan berjiwa besar, kerana apa dibimbangi bakal
menjadi kenyataan.
"Saya meminta pemimpin Pakatan berfikiran positif bukan sahaja untuk pilihan raya umum ke-14 tetapi melangkaui daripada itu.
"Apa yang telah berlaku, kita pandanglah ke hadapan, pemimpin tidak
boleh memikirkan masa lalu, perlu bergerak ke hadapan. Melihat masa
lalu, ada yang mengguris dan ada yang menggembirakan, jadi lebih elok
pandang ke hadapan.
"Saya lebih suka, pemimpin utama Pakatan Rakyat berjiwa besar untuk
kembali kepada mesyuarat Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Sementara
Suhaizan pula meminta pemimpin Pakatan melupakan perbezaan kecil yang
menjadi titik bengik dalam Pakatan Rakyat sebaliknya menumpukan agenda
besar yang ingin diperjuangkan.
Di samping itu, katanya, tidak melupai harapan sokongan 52 peratus
pengundi bahawa keperluan realiti membentuk kerajaan di Malaysia, PAS
tidak boleh bersendirian, sebaliknya mesti mewujudkan gabungan untuk
menubuhkan kerajaan.
"Pemimpin utama Pakatan Rakyat, perlu memikirkan dalam gambaran yang
lebih besar dan (dalam konteks) kebersamaan daripada mengutamakan
perkara kecil.
"Ini harapan orang muda dan Pemuda Pakatandemi generasi akan datang. Tak
ada masalah yang tidak boleh nak selesaikan dengan bijaksana," katanya.
Malaysiakini
0 orang berkata:
Post a Comment