• Wan Azizah Wan Ismail Wan Azizah Wan Ismail
1 / 1
PETALING JAYA - Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan komunikasi dalam rakan PR sentiasa berlaku termasuk dengan Pas.

Bagimanapun, komunikasi itu tidak melibatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Itu saya mengatakan bahawa PR lebih baik mempunyai perjumpaan yang lebih kerap dan mungkin ini lebih ditujukan kepada Pas.

"Sebab komunikasi memang berterusan antara PKR dan DAP juga (dengan) Pas di peringkat bawah daripada Presiden (Abdul Hadi). Jadi, saya kira boleh diperbaiki," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.

Wan Azizah berkata demikian ketika ditanya media tentang kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang seperti dilaporkan kelmarin yang melahirkan ketidakpastian terhadap gabungan parti dalam PR selepas lebih enam bulan tidak bermesyuarat.

Dalam sidang media sama, Wan Azizah ditanya pandangannya berhubung keyakinan terhadap gabungan PR terus kekal sehingga PRU14 kelak.

"Insha-ALLAH, sebab saya rasa kita semua mengetahui sejarah Malaysia. Kalau kita ada PR untuk memenangi PRU, mendepani BN yang mencengkam kuasa begitu lama, memang memerlukan kesatuan antara parti-parti yang ada yang bersama yang boleh mengadakan konsensus dan kerjasama.

"Kita juga percaya prinsip-prinsip yang bersama. Kita kongsi prinsip-prinsip itu. Jadi, itu boleh membawa kepada satu saingan yang lebih hebat kepada BN," katanya.

Jelasnya, kekangan yang dihadapi PR tidak menafikan bahawa PR memperolehi jumlah undi popular yang banyak pada pilihan raya lalu.

"Sebab kita tak ada media, kita ada masalah untuk mendapatkan lesen, menghadapi banyak kekangan-kekangan. Tapi kalau kita bersatu Insya-ALLAH kita dapat mendepani dengan pengundi-pengundi.

"Namun, kalau memikirkan 2013, kita dapat undi popular yang begitu, dengan kekangan-kekangan yang ada, ini menyebabkan kita merasakan bahawa kita mempunyai potensi dan peluang yang baik," katanya.