• Kassim Ahmad Kassim Ahmad
1 / 1
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bekas aktivis sosial dan politik Dr Kassim Ahmad untuk menangguhkan sebarang tindakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terhadapnya yang berdepan tiga pertuduhan menghina Islam di Mahkamah Tinggi Syariah.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu selepas menyemak penghujahan bertulis yang dikemukakan kedua-dua pihak.

Peguam Rosli Dahlan, yang mewakili Kassim, memberitahu pemberita berikutan keputusan itu, Jawi atau pegawainya ditegah daripada mengambil sebarang tindakan atau meneruskan prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah sementara menunggu kes rayuannya diselesaikan di Mahkamah Rayuan.

Kassim merayu terhadap keputusan Asmabi pada 6 Jan yang menolak permohonan beliau untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan untuk mendakwa beliau di Mahkamah Tinggi Syariah terhadap tiga pertuduhan menghina Islam.

Rosli berkata beliau akan memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah supaya menangguhkan kes Kassim yang ditetapkan untuk perbicaraan hari ini. Mahkamah Tinggi Syariah menangguhkan perbicaraan bagi kes itu disebut pada 16 Februari.

Asmabi, ketika menolak permohonan semakan kehakiman Kassim, berkata Kassim tidak seharusnya mengemukakan permohonan semakan kehakiman sebuah agensi penguatkuasaan di Mahkamah Sivil memandangkan kes itu berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Hakim itu berkata bagaimanapun, Kassim boleh memohon remedi di Mahkamah Sivil berkaitan dakwaan beliau ditangkap dan ditahan secara tidak sah.

Kassim, 82, memfailkan permohonan pada 26 Jun tahun lepas, memohon perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan Ketua Pendakwa Syarie pada 27 Mac tahun lepas, untuk mendakwanya kerana didakwa menghina Islam dan mengingkari arahan pihak berkuasa.

Beliau memohon agar kesnya di Mahkamah Tinggi Syariah di Putrajaya digantung sementara menunggu keputusan permohonan semakan kehakiman itu.

Beliau turut memohon perintah untuk mengetepikan semua waran tangkap, geledah dan sita selain bon serta perisytiharan bahawa pegawai Jawi dan pendakwaan bertindak di luar bidang kuasa mereka.

Beliau mendakwa pegawai dan pendakwa Jawi itu melanggari peruntukan Perlembagan Persekutuan, Akta-Akta Syariah Wilayah Persekutuan dan Enakmen-Enakmen Syariah Kedah, dalam tindakan mereka terhadapnya. - Bernama