• Parti PAS Parti PAS
1 / 1
SHAH ALAM – Pemerhati politik berpendapat kepimpinan tertinggi Pas perlu menyatakan hala tuju parti itu secara jelas supaya haluan mereka lebih difahami terutama kedudukannya dalam PR.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, perbalahan antara Pas dengan parti komponen PR lain itu jelas kelihatan di mata umum.

“Pas kena nyatakan dasarnya...hala tujunya ke mana. Sebab sekarang ini tidak jelas. Nampak macam ada perbalahan dengan rakan dalam PR tapi dalam masa sama ada juga nampak bersama-sama dengan PR untuk menyumbang dan sebagainya.

"Jadi sekarang ini apa sebenarnya hala tuju Pas selepas PRU13 dan menuju ke PRU14 nanti?,” katanya kepada Sinar Online.

Menurutnya, ada tiga pilihan buat Pas yang boleh diambil bagi menjelaskan pendirian sebenar mereka.

“Kalau Pas mahu bekerjasama dengan BN,  teruskanlah supaya BN boleh dimantapkan. Tapi kalau masih lagi mahu bersama PR perlu buat penegasan bahawa mereka masih menolak Umno.

“Ataupun Pas mahu ambil jalan ketiga iaitu tidak memilih kedua-duanya. Menjadi parti yang bergerak sendiri tanpa dalam PR dan juga tanpa dalam BN,” katanya.

Menurutnya, pendirian itu perlu bagi memudahkan Pas membawa agenda yang mahu diperjuangkan dalam PRU14 mendatang.

“Jadi, sekarang ini kena ada pendirian daripada barisan kepimpinan Pas.  Hala tuju yang mana satu parti itu mahu ambil. Supaya rakyat pun jelas dengan kedudukan Pas. Jadi, mudahlah agenda yang dibawa Pas nanti menuju ke arah PRU14, kita boleh nampak ke mana hala tuju mereka.

“Sekarang ini mereka nampak macam dalam PR tapi tingkah laku mereka kelihatan menjurus ke arah kerjasama dengan BN. Sekarang ini tak jelas. Tapi saya rasa kalau sampai PRU14 tak jelas, ia akan menjejaskan sokongan orang Melayu kepada Pas dalam konteks ini,” katanya.

Senada dengan beliau, penganalisis Geopolitik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata, teka teki melibatkan Pas ini hanya dapat dijawab parti itu.

“Saya rasa masalah Pas untuk kembali bersama Umno atau Umno bersama Pas ini, ini adalah sesuatu yang hanya Pas sahaja boleh jawab. Kerana akhirnya, kalau kita lihat, PR ini adalah satu pakatan yang bukan lemah tapi longgar. Mereka tidak ada ikatan yang kukuh.

“Sebab itu kita lihat mereka tidak boleh ada manifesto yang mantap. Saya kira, PKR dan DAP ini memerlukan undi Pas terutama di kawasan-kawasan Melayu. Masalahnya sekarang ini,prinsip dan ideologi Pas tidak selari dengan PKR dan DAP.

“Dalam Pas juga ada puak yang masih lagi tidak mahu kerjasama dengan Umno. Tapi sebahagiannya melihat adanya ruang untuk bersatu dengan Umno. Jadi dalam hal ini, kepimpinan Pas itu yang akan menentukan hala tuju itu bukan PKR dan DAP,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama Pas dan Umno di Kelantan, beliau berpendapat, gabungan itu hanya setakat di situ sahaja.

“Saya kira apa yang berlaku di Kelantan ketika ini, Pas mengambil pendekatan, siapa yang boleh membantu dia, maka dia akan membuka tangan menerima bantuan itu. Tapi saya tak fikir kerjasama Umno-Pas itu boleh pergi lebih daripada itu sehingga kembali kepada Umno dan sebagainya.

“Sebab apa, dalam Pas itu ada puak-puak yang tertentu. Khususnya puak yang dipimpin bawah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang masih kuat lagi penyatuan ini. Tapi, akhirnya ia terpulang kembali kepada kepimpinan Pas,” katanya.