• Nik Nazmi Nik Ahmad Nik Nazmi Nik Ahmad
1 / 1
SHAH ALAM - Desas-desus yang mengatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan penyalahgunaan kuasa bukan perkara baharu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sejak dahulu lagi, pihaknya sentiasa melaporkan dakwaan penyelewengan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

 “Desas-desus itu perkara biasa dalam politik negara. Tapi bagi isu laporan Anwar dan Tun Daim, itu bukan perkara baharu.

“Isu tersebut berlarutan sejak Anwar dipecat pada tahun 1998. Malah beberapa tahun lepas, beliau konsisten memberikan kenyataan terhadap Tun Daim. Cuma sejak kebelakangan ini saya tidak tahu mengapa hal ini digembar-gemburkan oleh Umno. Itu kena tanya Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Kumpulan Media Karangkraf, di sini hari ini.

SPRM baru-baru ini menyiasat Daim atas tuduhan penyalahgunaan kuasa mengenai  perniagaan perbankannya di luar negara meskipun bekas menteri kewangan itu sudah dibersihkan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) pada tahun 1998.

Anwar dalam reaksinya pada 18 Januari lalu berkata, beliau sanggup bekerjasama membantu siasatan sekiranya SPRM memanggil beliau dan kenyataannya itu mendapat liputan luas media arus perdana yang sebelum ini diketahui tidak memberi liputan kepada pemimpin PR.

Ia mendorong tersebarnya spekulasi kem Najib kini sedang mengerakkan kempen bagi menutup mulut pengkritik paling kuat dalam Umno iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Daim.

Nik Nazmi yang juga menepis dakwaan Anwar cuba membantu Najib sebaliknya menyifatkan ia hanya sesuatu yang digembar-gemburkan oleh media.

“Itu semua hanya mainan media. Mungkin media yang sebelum ini tidak pernah beri perhatian kepada kes ini mula melaporkan berita-berita berkenaan Tun Daim dan Anwar, jadi ia (berita) nampak besar.

“Isu ini hanyalah isu sama yang dibawa sebelum ini sehingga sekarang. Kita dedahkan semua penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan di negara ini. Kami akan terus melawan penyelewengan oleh sesiapa pun. Kami bukan mahu bantu Najib, bukan mahu lawan Najib,” katanya lagi.