• Chean Chung (kiri) dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini. Chean Chung (kiri) dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.
1 / 1
PETALING JAYA – Buku jingga jelas menyebut PR perlu memperkukuhkan demokrasi di peringkat kerajaan tempatan, demikian reaksi Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Lee Chean Chung ketika mengulas isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang.

Meskipun enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut namun, Chean Chung yang juga Adun Semambu seakan mengingatkan semua pimpinan PR janji yang telah termaktub dalam dasar PR melalui buku jingga.

“Dasar atau buku jingga secara jelas ada menyebut bahawa kita perlu memperkukuhkan demokrasi di peringkat kerajaan tempatan. Saya rasa ini prinsip yang dipegang oleh ketiga-tiga parti. Jadi, berdasarkan prinsip ini kita perlu merangka satu proses untuk melaksanakan janji kita.

“Semangat kita memang memperkukuhkan demokrasi di peringkat kerajaan tempatan dan memang pilihan raya pernah wujud pada tahun sebelum 60-an,” katanya ketika ditemui selepas sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Dalam sidang media berasingan, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menyifatkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak bercakap benar sepenuhnya berhubung dakwaan Pas telah bersetuju dengan cadangan melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang.

Ketika diminta mengulas mengenai pertikaian antara Pas dan DAP yang semakin berlarut, Chean Chung akui tidak mempunyai maklumat dalam isu tersebut.

“Saya tidak mahu komen kerana saya tidak ada maklumat berkenaan isu itu. Lebih baik buat pengesahan dengan mereka,” katanya.

Sebelum ini, DAP mempertahankan pendiriannya yang mahu melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang tanpa mendapat persetujuan pimpinan tertinggi PR.