• Lim Guan Eng Lim Guan Eng
1 / 1


BUTTERWORTH - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini terus menamatkan sidang akhbar apabila para pemberita mendesaknya memberi respons sebagai setiausaha agung DAP terhadap cabaran Pas agar beliau berdebat tentang isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sidang akhbar itu diadakan selepas beliau melancarkan Cafe Sains Pulau Pinang di sini.

Pemberita beberapa kali meminta Guan Eng memberi responsnya terhadap cabaran setiausaha agung Pas Datuk Mustafa Ali untuk berdebat tentang isu pilihan raya PBT, tetapi Guan Eng mengulangi kata-kata 'ada soalan lain tak?'

Apabila pemberita terus bertanya tentang perkara itu, Guan Eng menamatkan sidang akhbar itu dengan ucapan 'terima kasih'.

Sebelum itu, beliau menyentuh tentang beberapa perkara lain, termasuk kesan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Mustafa dilaporkan mencabar Guan Eng berdebat tentang isu pilihan raya PBT. Rabu lepas, pemimpin Pas itu menyelar Guan Eng kerana didakwa berkata beliau (Mustafa) bersetuju pilihan raya PBT diadakan, sedangkan beliau tidak berkata demikian.

Sebelum itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, pilihan raya PBT yang diperjuangkan DAP boleh melebarkan lagi jurang ekonomi antara golongan berada dan tidak berada serta boleh mencetuskan pergaduhan kaum seperti Peristiwa 13 Mei 1969.

Pada khamis, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke mengeluarkan kenyataan yang mempersoal sama ada Mustafa cuba membakar jambatan yang menghubungkan Pas dan DAP apabila beliau mencabar Guan Eng untuk berdebat.

Beliau berkata, cabaran Mustafa itu sama seperti melayan DAP sebagai musuh politik dan mendakwa Mustafa tidak pernah bertindak demikian terhadap Umno yang menjadi musuh politik Pas.

Pada Ogos tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Kerajaan Pulau Pinang tidak mempunyai kuasa untuk mengadakan pilihan raya PBT. - Bernama