• Ahmad Zahid Hamidi Ahmad Zahid Hamidi
1 / 1
PUTRAJAYA - Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mendengar penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung surat yang dihantarnya kepada Federal Bureau of Investigation (FBI) berkaitan warganegara Malaysia Paul Phua Wen Seng, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

"Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah beri keterangan dalam mesyuarat Kabinet. Kami telah dengar penjelasan yang diutarakan oleh beliau, kami bersetuju penjelasan yang diberi," katanya ketika ditanya pemberita sebab Ahmad Zahid menulis surat itu kepada FBI dan bukannya Kementerian Luar.

Anifah ditemui pemberita selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia, Alaihuddin Awang Mohd Taha dan Duta Timor-Leste ke Malaysia, Jose Antonio Amorim Dias di Wisma Putra di sini, hari ini.

Mengenai butiran penjelasan yang diberi Ahmad Zahid, Anifah berkata, soalan berkenaan wajar ditanya kepada Menteri Dalam Negeri berkenaan.

Paul Phua serta anaknya, Darren Wai Kit Phua kini dalam tahanan rumah di Amerika Syarikat dan menghadapi pertuduhan di mahkamah negara itu atas kesalahan penghantaran maklumat pertaruhan dan menjalankan kegiatan perjudian tidak sah di Las Vegas semasa Piala Dunia 2014 lalu. 

Paul Phua yang cukup terkenal dalam sirkit permainan poker profesional, pernah mengambil bahagian dalam kejohanan Big One For One Drop dalam Siri Poker Dunia 2012.

Beliau menduduki tempat keenam dalam European Poker Tour Grand Final Monte Carlo 100k Super High Roller 2014 dan dia juga disyaki terlibat dengan kegiatan kongsi gelap 14K Triad, sebuah kumpulan kongsi gelap dan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Berikutan penahanan Paul Phua, firma guamannya, Chesnoff & Schonfeld telah memohon Ahmad Zahid agar mengeluarkan surat kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F.Giuliano untuk mengesahkan yang lelaki itu bukan seorang anggota 14K Triad dan kumpulan kongsi gelap itu juga tidak wujud di Malaysia.

Pada 18 Disember, 2014, Ahmad Zahid menulis kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F. Giuliano menyatakan Phua bukan anggota kongsi gelap 14k dan kumpulan 14k tidak pernah wujud di Malaysia. - Bernama