Mayat dua mangsa masih belum dituntut
KUALA LUMPUR - Mayat dua mangsa kemalangan helikopter di Semenyih Sabtu lepas masih belum dituntut.
Menurut jurucakap Hospital Kuala Lumpur (HKL), sehingga jam 6 petang
hari ini, pihak pengurusan belum menerima laporan tentang kehadiran
waris terdekat mangsa bagi menjalankan proses pengecaman dan penuntutan
mayat.
Katanya, wakil dari Kedutaan Kyrgyzstan hadir kira-kira pukul 10.30
pagi di bilik mayat HKL bagi membantu siasatan ke atas satu daripada
mayat berkenaan, seorang wanita yang disebut sebagai 'pembantu operasi'
dari negara berkenaan.
"Bagaimanapun pihak pengurusan tidak dapat memberi sebarang pengesahan
sehingga kemunculan waris terdekat dan disusuli proses bagi pengesahan
mayat berkenaan," kata jurucakap itu.
Dipercayai usaha sedang dibuat bagi menghubungi waris mangsa itu.
Beliau berkata, wakil dari Kedutaan Amerika Syarikat yang hadir semalam
untuk proses pengecaman mayat dan dokumentasi juruterbang warga negara
itu Kapten Clifford William Fournier, telah menghubungi waris mangsa.
Kedutaan AS ketika dihubungi bagaimanapun enggan memberikan sebarang
maklumat mengenai ketibaan waris berkenaan atas alasan privasi. -
Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment