• Hudud
1 / 1
SELAYANG - Hudud bukan rekaan untuk tujuan politik, sebaliknya perkara yang terkandung dalam al-Quran dan terdapat dalam Enakman Syariah selain Qisas dan Takzir.

Ketua Pemuda Pas Selayang, Mohd Fauzan Madzlan berkata, perbezaan pendapat berkenaan takrifan hudud bukan alasan mengatakan sistem tersebut tidak Islamik.

Menurutnya, pemahaman berkenaan enakmen syariah perlu diutamakan terlebih dahulu sebelum mengulas berkenaan hudud.

“Jika sistem sedia ada yang diguna pakai tak boleh selesaikan masalah jenayah, maka kita perlukan satu sistem yang boleh memberikan pengajaran.

“Pembentangan hudud telah dilaksanakan sejak 1993 lagi terdiri pakar undang-undang yang menggubal enakmen syariah secara cermat dan teliti dakwaan mengatakannya tidak Islamik adalah pandangan individu yang dangkal,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad kelmarin yang menyatakan hudud dicadangkan Pas tidak Islamik.

Sementara itu semalam, turut berlangsung mesyuarat Pemuda Pas Selayang di Taman Jati Rawang dihadiri 105 perwakilan dari 42 cawangan.

Mohd Fauzan mengekalkan kerusi ketua pemuda bagi penggal ketiga sementara timbalan dan naib masing-masing disandang Muhammad Zuhdi Mat Piah dan Mohamad Fauzan Maaruf.

Dalam mesyuarat kali ke-26 itu, Mohd Fauzan berkata, kempen penjelasan hudud akan diteruskan dan pihaknya memilih untuk memberikan penjelasan berbanding kontroversi.

“Kami akan pakai buat kempen penerangan di tempat terbuka di mana orang awam yang keliru berkenaan hudud boleh mengajukan soalan.

“Kami turut sediakan pegawai penerangan untuk perkara hudud ini yang boleh dibawa dalam forum sebagai usaha pemahaman sistem ini kepada orang bukan Islam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menekankan kepentingan perpaduan dan elakkan perpecahan dalam parti meskipun berbeza pendapat namun perlu diakhiri dengan kesepakatan.

“Perbezaan pendapat perkara biasa bukan bermaksud untuk berpecah tapi mencari kata sepakat,” katanya.