• Ramkarpal
1 / 1
KUALA LUMPUR - Dua parti komponen PR yang kini sedang berdepan krisis, akui tiada masalah untuk bekerjasama dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, DAP hanya bermasalah dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan dengan akar umbi Pas terutama di Pulau Pinang.

"Di peringkat akar umbi DAP-Pas OK, kami boleh bekerjasama, tetapi masalah kami hanyalah Hadi. Akar umbi DAP Pulau Pinang memang tidak ada masalah dengan Pas.

“Ketika PRK, akan ada masalah. Mungkin masalah kerjasama nanti. Tapi DAP sedia sokong dan bekerjasama dengan PKR. Itu kerusi PKR," katanya pada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima notis pemberitahuan kekosongan kerusi Permatang Pauh daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikir Amin Mulia.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh tertentu berhubung proses PRK Permatang Pauh dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, pihaknya tiada masalah untuk bekerjasama dengan DAP di dalam PRK atau di luar PRK.

"Kita akan terus bekerjasama dalam pilihanraya dan di luar pilihanraya. Kita kekal bersama dengan PR kerana bukan isu kita (masalah DAP dengan Abdul Hadi).

"Kita selesa dengan PR dan kita tahu bagaimana untuk mengurus perbezaan pendapat dalam PR," katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan DAP tidak tahu menguruskan perbezaan pendapat yang berlaku dalam perikatan itu.

"Cuma masalah pada DAP, dia mahu duduk dalam Pakatan tapi tidak tahu nak urus perbezaan pendapat. Itu sahaja.

"Semalam dalam mesyuarat pun kita tidak bincang langsung. Kita macam sebulat suara untuk berada dalam PR," katanya.

Ketika mengulas soal tindakan DAP Sabah dan Sarawak yang memutuskan hubungan dengan Pas itu, beliau menegaskan bahawa itu bukan masalah Pas.

"Putuskan hubungan itu masalah DAP. Bukan masalah kita (Pas)," katanya.