• GST baru
 1 / 1 
KOTA BHARU - Penguatkuasaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap BN pada PRU14.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, pelaksanaan GST tidak memberi impak besar kepada rakyat, walaupun pada awalnya ia menimbulkan kekalutan kepada mereka.

“Perubahan dalam sistem pencukaian begini tentu saja akan mendatangkan keributan kepada rakyat bila ia dilaksanakan. Lebih-lebih lagi apabila wujud masalah dalam aspek penerangan, pemantauan dan penguatkuasaan menyebabkan timbulnya kecelaruan dalam masyarakat.

“Apatah lagi apabila masyarakat mendapati mereka terpaksa mengeluarkan wang lebih untuk membeli barangan atau mengguna perkhidmatan tidak seperti sebelumnya.

Bagaimanapun, kita percaya keributan ini hanya akan berlaku selama beberapa bulan sahaja,”katanya kepada Sinar Harian, semalam, mengulas impak sokongan rakyat terhadap BN pada PRU14 selepas pelaksanaan GST yang didakwa membebankan rakyat.

Menurutnya, selepas terbiasa dan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan, keadaan akan pulih seperti biasa, apatah lagi kerajaan juga telah dapat memperbaiki kelemahan yang terdapat dalam pelaksanaan tersebut, hasil maklum balas daripada masyarakat.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) memberitahu, pada masa sama, kerajaan juga perlu mengekalkan inisiatif kawalan berpanjangan bagi elak berlakunya penyelewengan.

“Insya-ALLAH, masyarakat akan lebih memahami GST. Kerajaan perlu terus beri penerangan kepada masyarakat bagi memastikan ia difahami supaya tidak berlaku ketidakfahaman sehingga memberi kesan kepada aktiviti seharian.

“Selain itu kerajaan perlu memastikan kawalan ketat berterusan terhadap mana-mana pihak yang tidak sepatutnya mengenakan cukai tersebut namun berbuat demikian untuk kaut keuntungan dan sebagainya. Jika perkara ini tidak dibendung, ia akan menjadi duri dalam daging bila bercakap fasal GST,” katan
ya.