• Nga Kor Ming Kor Ming
1 / 1
IPOH - Tindakan Dewan Ulama mahu memutuskan hubungan dengan DAP adalah isyarat jelas perpecahan dalam PR dengan hanya memberi kelebihan kepada Umno sekali gus memberi isyarat perpecahan dalam PR.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, usul yang diluluskan dalam Dewan Ulama kelmarin juga banyak memberi kelebihan kepada Umno.

Menurutnya, bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata apabila PR berpecah, Umno akan berpesta manakala rakyat akan kehilangan harapan.

“Apa yang Allahyarham Nik Aziz katakan akan menjadi kenyataan sekiranya usul Dewan Ulama untuk membatalkan kerjasama dengan DAP berlaku. Ia tetap kelihatan pincang walaupun Pas masih bersama dengan PR.

“Keputusan Dewan Ulama itu seperti makan nasi lemak tetapi hanya mahu nasi tanpa ikan bilis. Ia tidak munasabah malah tidak seperti apa yang dipersetujui ketika mula-mula PR ditubuhkan,” katanya.

Beliau berharap Pas Pusat akan membuat keputusan yang lebih bijaksana dan tidak menghampakan penyokong PR yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Katanya, keputusan akhir hanya akan diputuskan pada Muktamar Tahunan nanti dan tindakan seterusnya akan dibincangkan demi kepentingan rakyat serta PR.

“Kita harap Pas mengambil kira semua aspek serta membuat keputusan sewajarnya. Rakyat mengharapkan tindakan yang bakal diambil sama seperti slogan Pas untuk semua,” katanya.

Usul tergempar yang diputuskan oleh Dewan Ulama Pas kelmarin menimbulkan pelbagai reaksi khususnya dalam kalangan pemimpin DAP.

Tindakan Dewan Ulama Pas Pusat itu dilihat sebagai tindak balas terhadap beberapa kenyataan pemimpin DAP yang berterusan mengkritik kepimpinan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.