Kalah, menang perlu duduk semeja
KUALA TERENGGANU – Kepimpinan Pas yang baharu dipilih dalam muktamar
baru-baru ini perlu memanggil bekas-bekas pemimpin yang kalah untuk
duduk semeja berbincang bagi mengukuhkan hala tuju Pas pada masa akan
datang.
Adun Chukai, Hanafiah Mat berkata, Pas Pusat perlu mengambil jalan
penyelesaian dengan segera bagi mengelak lebih banyak masalah apabila
masing-masing khususnya yang kalah dilihat lebih suka membuat pandangan
sendiri berhubung masa depan Pas dan DAP.
Menurutnya, jika langkah diambil sewajarnya, ia mampu mengurangkan kecelaruan yang kini turut berlaku di peringkat bawah.
“Damaikanlah antara mereka dan apabila berlaku perselisihan, kembalilah
kepada al-Quran dan hadis. Dua kumpulan ini (yang menang dan kalah)
perlu balik duduk semeja, nilai semula apa yang berlaku dan jangan ego.
Bagi saya, pemilihan baru-baru ini tiada yang menang dan tiada yang
kalah.
“Ego perlu dibuang dan balik bersatu, barulah tidak keluar macam-macam
ucapan, pandangan dan sebagainya. Pas terdiri daripada tiga perkara
iaitu dakwah, tarbiyah dan politik. Dalam masa yang sama Pas sampai
dakwah. Bukan sahaja kepada Cina dan India tetapi juga orang Islam untuk
sama-sama teruskan perjuangan politik untuk jatuhkan Umno dan BN.
“Cukup-cukuplah berbalah. Halakan peluru kepada Umno dan BN sama ada ke
Wisma Darul Iman mahupun ke Putrajaya,” katanya kepada Sinar Harian, di
sini.
Mengulas lanjut, beliau turut meminta ahli Pas lebih berdisiplin dan
menunggu keputusan daripada Majlis Syura Ulama berhubung hubungan Pas
dan DAP.
Beliau berkata, sebagai ahli Pas, semua pihak yang hadir sudah tentu
faham terhadap penjelasan yang diberi Setiausaha Agung Pas ketika
menerima usul daripada Dewan Ulama Pas Pusat.
Beliau berkata, isu tahaluf siyasi atau kerjasama politik ini turut
diputuskan Majlis Syura Ulama ketika terdapat usul yang mahu Pas
wujudkan kerjasama politik dengan PKR dan DAP sebelum ini.
Sehubungan itu, katanya tidak isu yang perlu timbul pada masa ini
apabila ketetapan untuk menilai kembali hubungan Pas dan DAP diserahkan
kembali kepada Majlis Syura Ulama.
“Saya lebih suka apabila berlaku pemilihan dan muktamar, biarlah biduk
lalu kiambang bertaut. Duduk semeja dan berbincang hala tuju Pas pada
masa akan datang. Bukan berbalah atau ikut pandangan masing-masing,”
katanya.


0 orang berkata:
Post a Comment