• Idris Ahmad
1 / 1
SHAH ALAM – Tuduhan pimpinan Pas mahu bersama dengan Umno hanya dibuat oleh orang yang kecewa dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,”  kata Naib Presiden Pas, Idris Ahmad.

Katanya seperti yang dipetik menerusi sebuah kenyataan hari ini, ia merupakan tuduhan yang disifatkan tidak masuk akal selain menjamin bahawa Abdul Hadi tidak akan mengkhianati parti.

 “Ini merupakan  satu tuduhan orang yang kecewa dengan Abdul Hadi yang masih mendapat sokongan daripada ahli. Untuk makluman, Abdul Hadi pernah diajak oleh pemimpin Umno untuk bergabung dengan Pas, tetapi dijawab dengan tegas, Pas tidak akan bersama dengan Umno sebaliknya dengan PR.

“Tidak masuk akal usia dan umurnya hari ini hendak khianat dan menghitamkan sejarah hidupnya dengan menyertai Umno, sebuah parti yang beliau lawan sejak kecil lagi,” katanya.

Beliau sebaliknya menasihati pihak yang cuba memburuk dan menjatuhkan barisan pimpinan Pas untuk meluangkan lebih banyak masa untuk menyampaikan dakwah.

“Jangan terlalu marah sehingga sanggup menuduh pemimpin Pas ketagih sangat dengan Umno. Sedangkan ada di kalangan mereka ini borang Umno pun tidak pernah pegang. Majoriti anak menantu dan keluarga mereka bersama Pas.

“Mereka yang menuduh pemimpin yang hendak menyertai Umno cuba lihat kiri kanan dahulu, adakah tidak ada ahli keluarga mereka yang tidak menyertai Umno. Alangkah baiknya masa yang terluang digunakan untuk berdakwah keluarga terdekat untuk bersama dengan perjuangan Pas,” katanya.