• Ketua Penerangan Pemuda Umno, Jamawi Jaafar Jamawi
1 / 1
KUALA LUMPUR - Penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung setiap perkara yang dibangkit serta dimainkan pembangkang ‎bukan sahaja ditunggu oleh seluruh ahli Umno, bahkan turut dinanti oleh masyarakat di negara ini. 

Ketua Penerangan Pemuda Umno, Jamawi Jaafar berkata, penjelasan yang dibuat Najib membantu mereka memahami perkasa sebenar dalam setiap isu yang dibangkitkan.

Beliau turut berpendapat bahawa isu 1Malaysia Development Berhad yang dibangkitkan hanyalah putar belit pihak yang ingin menjatuhkan Najib.

"Presiden tadi ‎telah memberi penerangan berkenaan dengan isu-isu semasa kepada semua jentera termasuk Pemuda, Puteri, Wanita dan peringkat bahagian.

"Kami sudah dengar penjelasan beliau sendiri yang kami yakin dibuat secara ikhlas dan jujur. 

Banyak isu yang dijelaskan dalam program hari ini. Antaranya 1Malaysia Development Berhad, Cukai Barang dan Perkhidmatan, isu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dan isu-isu lain," katanya ketika ditemui media selepas berakhirnya Majlis Penerangan Perdana di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Beliau juga berharap bahawa Najib ‎dapat memberikan penjelasan tersebut kepada masyarakat.

"Inilah penjelasan yang ditunggu-tunggu selama ini khususnya masyarakat. Saya harap penjelasan ini dapat diberikan kepada peringkat bawahan.

"Berdasarkan apa yang berlaku di dalam program tadi, saya yakin beliau menerima sokongan penuh dari kami semua," ujarnya.

Kata beliau lagi, Najib turut menggariskan beberapa perkara lain dalam ucapannya.

"Presiden memberikan jaminan bahawa  beliau akan terus menguatkan Umno, sekaligus mempertahankan hubungan dan kekuatan di peringkat akar umbi.

"Parti ini juga akan terus memperjuangkan nasib dan dasar orang Melayu di negara ini," katanya lagi.