• Idris Ahmad Idris Ahmad
1 / 1
KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata Pas masih menanti keputusan Majlis Syura Ulama berhubung usul yang diluluskan tanpa bahas pada muktamar Pas yang lalu.

Menurutkan, keputusan DAP yang mengumumkan PR sudah tidak wujud lagi hari ini itu hanyalah pandangan DAP.

"Kita (Pas) kembali kepada usul yang dibuat iaitu kita masih lagi menunggu keputusan mesyuarat (Majlis Syura Ulama).

"Itu (PR tidak wujud lagi) keputusan daripada DAP, kita (Pas) belum lagi. Kita pegang pada keputusan Majlis Syura nanti," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Dewan Rakyat, hari ini.

Hari ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan parti itu menerima keputusan Pas dalam muktamar lalu yang menerima usul Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP sekali gus menyatakan bahawa PR sudah tidak wujud lagi.

Namun, sehingga hari ini, Majlis Syura Ulama Pas masih belum membuat keputusan berhubung usul muktamar tersebut.

Ketika ditanya tarikh Majlis Syura Ulama bakal membincangkan soal usul tersebut, Idris meminta agar semua pihak bersabar.

"Sabarlah. Kita pemimpin mesti sejuk di kepala... Kita kena tenangkan keadaan untuk rakyat," katanya.