• Meratap hiba minta dibebaskan Kanak-kanak lelaki dipercayai warga tempatan menangis ketika diselamatkan.
1 / 2
AMPANG - Sekumpulan pengemis hanya mampu menangis sambil merayu minta dilepaskan, apabila diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam operasi bersepadu dijalankan sekitar kompleks membeli belah Ampang Point, di sini.

Ada antara mereka yang meriba bayi, beroperasi di tangga jejantas pejalan kaki dan juga kanak-kanak yang berkeliaran meminta sedekah.
Kanak-kanak yang ditahan juga tidak putus-putus meraung meminta maaf dan mohon dilepaskan.

Dalam pada itu, dua kanak-kanak berusia 11 tahun yang dilihat mencurigakan bersama seorang pemuda turut ditahan dipercayai menjalankan aktiviti mengemis.

Kedua-dua kanak-kanak itu memberi alasan baru mengenali pemuda itu yang meminta mereka tolong membelikan minyak kereta yang kehabisan.

Beberapa pertanyaan yang diajukan tidak dijawab dengan konsisten malah salah seorang darinya dipercayai warga tempatan pada mulanya mengakui tinggal bersama ibu di Ampang, namun apabila terus digasak soalan, dia mengakui tinggal di masjid manakala ibunya berada di Melaka.

Bagaimanapun hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua beg pinggang ditemui dalam kereta pemuda berkenaan yang mengandungi sejumlah wang.

Lelaki berkenaan juga ditahan untuk siasatan kerana mencurigakan dipercayai membantu dua kanak-kanak berkenaan.

Penolong Pengarah Kanan JKM Negeri Selangor, Mohd Hidzir Jamhuri berkata, operasi menyelamatkan pengemis dan gelandangan diperhebatkan memandangkan aktiviti itu menjadi tren pada bulan Ramadan.

Menurutnya, ia merupakan operasi kelima dilaksanakan secara bersepadu di Selangor memastikan masalah berkenaan dapat diatasi.

“Sepanjang bulan Ramadan saja kita telah menyelamatkan 48 pengemis dan gelandangan dan jumlah wang kutipan aktiviti mereka mencecah RM3,800.

“Kawasan ini merupakan hotspot bagi aktiviti ini berdasarkan aduan-aduan yang diterima. Kebanyakan mereka terdiri daripada warga asing,” katanya ditemui selepas operasi berkenaan.

Operasi dilaksanakan dengan kekuatan 99 anggota terdiri daripada pegawai JK Daerah Hulu Langat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), majlis agama dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Kesemua mereka ditahan dan warga asing diserahkan kepada jabatan imigresen untuk tindakan lanjut manakala warga tempatan ditempatkan di bawah pelindungan JKM.