Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Kelembapan ringgit hanya sementara, kata pakar
Kelembapan ringgit hanya sementara, kata pakar
Ringgit jatuh. - Sumber foto internet
 
KUALA LUMPUR - Kelemahan semasa ringgit yang disumbang terutamanya oleh faktor luar termasuk kejatuhan harga komoditi dan kelembapan ekonomi China, adalah sementara, kata pakar.
 
Ketua Penyelidik Inter-Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata, Malaysia sangat bergantung kepada komoditi termasuk minyak mentah dan pada akhirnya kejatuhan mendadak harga akan memberi kesan terhadap pendapatan kerajaan, sekali gus mendorong pelabur mengambil sikap berhati-hati.  
 
Ringgit hari ini ditutup pada 4.0375/0415 berbanding dolar AS. 
 
"Pada awalnya, ia (kejatuhan ringgit) tidak lebih daripada disebabkan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dijangka menaikkan kadar faedah. Langkah itu memperkukuh dolar AS namun kita menjadi lemah berbanding mata wang lain.
 
"Kemudian harga komoditi pula merosot yang memberi lebih tekanan kepada unit tempatan," katanya.  
 
Mengenai langkah untuk mengekang kemerosotan ringgit, Pong berkata: "Biarkan sahaja ia melemah, dan mungkin faktor eksport dalam ekonomi akan mendapat manfaat daripada lebihan dagangan yang lebih kukuh. Dalam jangka panjang akan wujud satu bentuk penstabilan."
 
Editor Serantau Oxford Business Group, Paulius Kuncinas berkata, walaupun halangan politik tempatan sedikit sebanyak menyumbang kepada penyusutan, situasi itu tidak membimbangkan.
 
"Kami tidak menjangka krisis besar-besaran. Situasi domestik mungkin menyebabkan kelembapan dan pembetulan kecil (disebabkan perkara itu), namun kita tidak harus terlalu bimbang mengenainya," kata beliau. 
 
Justeru kata beliau, situasi semasa adalah sementara dan ringgit akan kembali pulih apabila tiba masanya. 
 
"Ia akan didagangkan antara 3.80 dan 4.20 berbanding dolar AS tahun ini serta kembali pulih pada awal 2016," katanya.
 
Sementara itu menurut seorang penganalisis yang mahu identitinya dirahsiakan, kelembapan mata wang lazimnya hanya dilihat dalam perspektif negatif dengan kesan terhadap komponen import termasuk makanan dan bahan binaan yang diterjemahkan kepada inflasi lebih tinggi.
 
"Akan tetapi, ada hikmah juga di sebaliknya walaupun tidaklah menyeluruh," katanya menambah bahawa dalam senario kes terburuk, Bank Negara Malaysia boleh melaksanakan dasar-dasar untuk mengawal situasi.
 
Bagaimanapun beliau percaya keadaan tidak akan sampai ke tahap itu.
 
"Orang ramai pantas membuat perbandingan kemerosotan semasa ringgit dengan krisis kewangan 1997/98, namun mereka gagal mengenal pasti perbezaan asas-asas ekonomi yang kini jauh lebih baik," katanya.
 
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, kelemahan ringgit tidak mencerminkan asas-asas ekonomi negara.
 
Beliau berkata sistem perbankan tempatan adalah kukuh dan kegiatan ekonomi masih utuh untuk memacu pertumbuhan.
 
"Dahulu pada 1997 dan 1998 (semasa krisis kewangan Asia), kita teruk terjejas," katanya, menambah banyak faktor yang menjejaskan Malaysia pada masa itu termasuk defisit dagangan, rizab jatuh di bawah paras US$30 bilion dan kadar hutang yang tinggi dalam kalangan syarikat dengan sesetengah terdedah kepada pinjaman mata wang asing.
 
Ringkasnya, keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara menguncup 7.4 peratus pada 1998 berbanding pertumbuhan KDNK 4.5 peratus yang diunjur tahun ini, manakala kadar pinjaman bank dahulu ialah 13.53 peratus berbanding sekarang 4.57 peratus.
 
Rizab asing Malaysia pada 1998 hanya sebanyak US$20 bilion dengan imbangan dagangan dalam defisit.
 
Setakat 31 Julai 2015, rizab adalah sebanyak US$96.7 bilion, iaitu mencukupi untuk membiayai 7.6 bulan (1998 hanya 2.6 bulan) import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek.
 
Ekonomi Malaysia juga akan menerima manfaat daripada limpahan kegiatan prasarana yang kukuh di rantau ini, kata Kuncinas.
 
Komuniti Ekonomi Asean adalah acara penting tahun ini dan buat pertama kali ekonomi-ekonomi maju termasuk AS melihat Asean secara serius, katanya. - Bernama 

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.