SUNGAI PETANI - Bekas pimpinan dan ahli Pas bukan sengaja berpecah dari parti itu tetapi untuk membina gabungan lebih kuat dalam menghadapi BN pada PRU14.

Presiden Pasma, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, keputusan itu dibuat selepas Pas mengambil ketetapan untuk memutuskan hubungan dengan DAP pada muktamar tahunannya baru-baru ini.

“Kalau kita (Pas) bergerak sendirian ia tidak akan ke mana. Sebab itu Harapan Baru diwujudkan sebagai satu langkah untuk menubuhkan parti politik dan PR baharu.

“Bukan sengaja kita berpecah dari Pas tetapi kita perlu ada gabungan baru yang lebih kuat untuk menghadapi pihak lawan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Harapan Baru peringkat negeri di Dewan Hock Teik Soo, Sungai Lalang, di sini, malam tadi.

Menurutnya, banyak kenangan manis politik antara rakan Pas, PKR dan DAP pada sebelum ini, namun ia sudah terkubur.

“Sebagai sebuah NGO, saya yakin kita mesti mempunyai gandingan mantap bersama DAP, PKR dan lain-lain NGO untuk menghadapi BN.

Kita tidak boleh bersendirian untuk lawan mereka kerana sejarah membuktikan bahawa kalau lawan BN secara sendirian tidak memberikan banyak hasil,” katanya.

Bagaimanapun, apabila wujudnya PR dan gabungan itu turut disokongn oleh rakyat ia berjaya merampas beberapa negeri dari BN.

“Tetapi kita kecewa dan rakyat pun kecewa apabila PR yang berjanji nak melakukan pertukaran kerajaan pada pilihan raya tidak berjaya.

“Jika tidak, hanya satu langkah lagi untuk kita kecapi impian itu tetapi PR terkubur. Oleh itu kita bersama Harapan Baru akan membentuk semula PR 2.0 untuk meneruskan perjuangan ini,” katanya.