Politik Malaysia asyik cerita soal wala’, Melayu
Anak muda perlu di didik cara berpolitik
SHAH ALAM – Anak muda sekarang tidak dididik dengan ilmu politik yang
sebenar sebaliknya hanya di momok-momokkan dengan frasa-frasa seperti
ketaatan kepada pemimpin dan ketuanan terhadap kaum.
Presiden Ikram Siswa Nasional, Marwan Abdullah berkata, konsep itu diamalkan oleh parti-parti politik di negara ini.
“Peranan kami sebagai NGO, kita buat pendidikan politik, bagi anak muda
faham sistem politik Malaysia ini bagaimana? Sama ke dengan sistem
politik di Amerika Syarikat, United Kingdom, Indonesia, atau sama ke
dengan Arab Saudi yang ada raja?
“Itu perlu diajar, dididik. Masalahnya sekarang, anak-anak muda kita
tidak dididik begitu. Kita dididik...minta maaf saya kata, kalau parti
pembangkang, dia akan mainkan isu dosa dan pahala, taat ataupun tak taat
wala’ ataupun tak wala’. Itu tidak mendidik. Itu doktrin.
“Kalau yang satu lagi, ‘hang kalau tak sokong aku, habis masa depan
Melayu. Betul ke? Siapa kata? Apa buktinya? Sebab itu pendidikan
penting. Jangan cemas, kita mendidik, insya-ALLAH,” katanya ketika
menjadi panel dalam Wacana Sinar Harian Siri ke-36 bertajuk, ‘Kuasa
Politik Baharu, Apa Anak Muda Mahu’, di sini, hari ini.
Menurutnya, seiring perkembangan semasa yang berteknologi tinggi, anak muda tidak lagi mengalami kekangan untuk menimba ilmu.
“Isunya adalah pendidikan politik dalam memperkasakan kita. Dulu dalam
keadaan kita tidak ada media sosial, informasi pun tak banyak, jadi,
medan kita terhad, wacana terhad.
“Tapi dalam keadaan sekarang, banyak ruang atau medium yang boleh
dimanfaatkan seperti di media massa jadi anak muda lebih dididik,”
katanya.
Dalam sesi menjawab soalan juga beliau melahirkan kekesalan susulan
masih ada pihak yang tidak yakin terhadap anak muda di negara ini.
“Cemas dengan anak muda...nampaknya masih wujud dalam kalangan kita ini
yang tidak yakin dengan anak muda...ada juga keadaan yang memandang
rendah kepada anak muda, sedangkan anak muda boleh buat perubahan,”
katanya.
Sebelum ini, ada penonton yang membangkitkan soal kebimbangannya terhadap anak muda melibatkan halal haram dalam berpolitik.
“Anak muda bikin saya cemas terutama melibatkan soal halal haram
terutama dalam politik. Anak muda seolah-olah tiada 'guideline' untuk
pandu mereka sama ada ia benar atau salah?
“Saya harap anak muda pilih platform yang betul,” tanya salah seorang penonton.
0 orang berkata:
Post a Comment