KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kerajaan pada hari ini bersih daripada gejala rasuah.

Menurutnya, tiada laporan rasuah terhadap kerajaan PH berbanding kes yang begitu banyak dilaporkan ketika zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Satu perkara yang anda boleh lihat sendiri ialah tiada laporan ataupun tuduhan kepada kerajaan ambil rasuah diperkatakan terutama dalam media.

"Jika sebelum ini (kerajaan terdahulu) , hari-hari orang cakap pasal rasuah. Ada saja laporan yang diterima yang dedahkan kerajaan dahulu terlibat rasuah," katanya dalam ucaptama Persidangan Anti Rasuah 2018 dan tadbir urus yang baik bagi Pertumbuhan Ekonomi Mampan, hari ini.

Kata Dr Mahathir, beliau juga percaya kerajaan mampu untuk memastikan gejala rasuah dalam negara ini dikurangkan.

"Namun, harus diakui ia cukup sukar kerana kerajaan terdahulu menggalakkan rasuah.

"Kerajaan kini tidak mencuri duit untuk beri kepada orang lain seperti yang diamalkan kerajaan BN," katanya.

Beliau turut menjangkakan indeks rasuah negara juga semakin berada di tahap terbaik dengan usaha kerajaan mengatasi gejala itu dalam negara.

Sementara itu, beliau menyatakan kerajaan terpaksa menolak sumbangan RM100 juta yang mahu diberikan oleh sebuah syarikat untuk Tabung Harapan Malaysia.

Kata Dr Mahathir, ia kerana dikhuatiri mempunyai niat lain dan cuba merasuah kerajaan.

"Kerajaan memang memerlukan wang. Tetapi, ada cubaan menggunakan sumbangan bagi mempengaruhi pentadbiran kerajaan.

“Kerajaan terpaksa menolak wang tersebut kerana ia akan menjadi sumber rasuah," katanya.
Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak mendedahkan nama syarikat tersebut.