Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

UMNO AKAN JADI DINASOR

Posted on Tuesday, January 31 @ 17:12:16 PST by paktam

  Oleh Shahbudin Husin 

Soal masa depan Umno kini menjadi bualan di mana-mana dan oleh sesiapa sahaja. Selain hidup mati Umno dikatakan akan ditentukan oleh keputusan PRU 13 akan datang, soal bagaimana wajah dan rupa bentuk Umno di masa hadapan turut menjadi perhatian.

 Dengan wajahnya seperti sekarang, apakah Umno akan wujud 50 tahun atau 100 tahun akan datang? Atau apakah Umno perlu merubah wajah dan rupa bentuknya untuk disesuaikan dengan kehendak zaman dan generasi mendatang?


Berdasarkan keputusan piliharaya 2008 dan perkembangan mutakhir ini, jelas bahawa Umno kini semakin dipertikai dan dijauhi oleh orang-orang Melayu sendiri. Golongan muda, profesional dan pertengahan ke atas seperti tdak lagi menjadikan Umno sebagai sandaran dalam menentukan hidup mati atau jatuh bangun masa depan mereka. Wujud atau tidak Umno,tidak ada bezanya bagi mereka.

Umno kini hanya menjadi parti orang-orang Melayu di kampung dan mereka yang berpendapatan sederhana rendah yang tinggal di bandar atau pinggir bandar. Di bandar cawangan Umno hanya wujud di kawasan perumahan kos rendah, flat, kawasan setiggan dan PPRT dan mesyuarat Umno cawangan di kawasan ini agak aktif dengan pelbagai tuntutan dan permintaan. Cawangan Umno tidak wujud atau hampir tidak aktif di kawasan perumahan mewah seperti Bukit Damansara, Mont Kiara, Tropicana, Taman TAR di Ampang dan seumpamanya meskipun di situlah kebanyakan pemimpin Umno tinggal dan menjadi tempat anak isteri mereka mempamerkan kekayaan.


Dengan arus pembangunan yang mungkin menjadikan kampung-kampung turut dimajukan dan orang Melayu sendiri menjadi pandai, berpendidikan serta menjadi kelompok elit dan menengah, apakah Umno dengan wajahnya sekarang mampu untuk terus bertahan?


Selain wajah Umno dihodohkan dengan perangai pemimpin dan mereka yang diberi kuasa tetapi bersikap tidak amanah dan tidak ikhlas dalam perjuangan sehingga dicemari dengan pelbagai isu skandal, rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, penipuan malahan pembunuhan sekalipun, struktur dan wajah Umno yang bersifat hanya untuk satu kaum sahaja turut menjadikan ia lemah dibawa perubahan zaman. Dan semua ini, hari demi hari, menjadikan Umno semakin hodoh dan hilang seri di mata rakyat.


Malaysia sejak kewujudannya adalah sebuah negara berbilang kaum namun jarang berlaku persengketaan kaum kerana masing-masing menyedari pentingnya menjaga keharmonian kaum. Seruan terhadap integrasi kaum juga sering dilaungkan meskipun pada awalnya Umno, Mca dan Mic memperjuangkan kepentingan dan hak kaum masing-masing.


Namun setelah lebih 50 tahun merdeka dan selepas pilihanraya 2008, soal kaum dalam perjuangan politik seakan mula memasuki dimensi baru. Penolakan rakyat terhadap Umno bukan sahaja disebabkan wajah hodohnya yang dipamerkan melalui perangai kebanyakan pemimpinnya tetapi juga kerana sifat perkaumannya. Parti berunsur satu-satu kaum mulai ditolak manakala parti pelbagai kaum seperti Pkr dan Dap mulai mendapat sambutan. Ada pula yang meninggalkan Mca dan Mic untuk menyertai parti pelbagai kaum dalam gabungan BN seperti Gerakan dan PPP. Parti baru yang ditubuhkan selepas pilihanraya 2008 seperti KITA juga bersifat pelbagai kaum.


Semua ini memperlihatkan kesedaran yang makin tinggi bahawa perjuangan politik dalam sebuah negara majmuk tetapi hanya berasaskan satu-satu kaum sudah mulai ketiggalan zaman. Kemudian apabila dua bekas pemimpin Umno iaitu Datuk Ariff Sabri, bekas Adun Pulau Manis, Pahang dan Aspan Alias dari Negeri Sembilan serta bekas Presiden NUJ, Hata Wahari mengambil keputusan menyertai Dap, jelas memperlihatkan parti pelbagai kaum sudah mulai menyusup jauh.


Beberapa individu seperti Tengku Abdul Aziz dan Zairil Khir Johari sudah pun menyertai Dap sebelum ini dan diterima dengan baik dalam parti itu.


Dengan Pkr yang diterajui oleh Anwar Ibrahim, juga bersifat pelbagai kaum dan diterima baik oleh rakyat bersama gabungan dengan Pas dan Dap, kebarangkalian untuk melihat Umno akan beransur-ansur tenggelam, dilupakan dan menjadi dinasour adalah amat besar sekali, kecuali ia segera merubah struktur dan rupa wajahnya bukan saja untuk disesuaikan dengan keperluan zaman tetapi juga dengan hakikat negara sendiri yang berbilang kaum.


Pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar pernah mencadangkan supaya Umno terbuka kepada semua kaum tetapi beliau telah ditentang ketika itu sehingga disingkirkan daripada Umno. Tetapi melihat perkembangan semasa dan akan datang yang dijangka terus mahukan isu-isu perkauman diketepikan, janganlah terperanjat kiranya di masa akan datang Umno akan terus mengecil jika kekal dengan rupa bentuknya seperti sekarang.


Selain Umno dijauhi kerana generasi akan datang lebih berminat menyertai parti pelbagai kaum seperti Pkr dan Dap, sebahagian Melayu yang lain pula memilih menyertai Pas yang juga bukan bersifat perkauman tetapi berlandaskan Islam. Bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh, Haji Soberi Shafie telah meninggalkan Umno untuk menyertai Pas.


Adalah dijangkakan menjelang pilihanraya atau selepas pilihanraya akan datang ini, lebih ramai lagi orang-orang Melayu sama ada daripada kalangan tidak berparti atau bekas ahli Umno, akan turut menyertai Dap. Ini kerana Dap yang selama ini digembar-gemburkan sebagai parti perkauman Cina dilihat bersungguh-sungguh mahu menghakis tanggapan itu, sesuai matlamat asal penubuhan dan perlembagaannya sendiri yang bersifat untuk semua kaum, mempertahan Raja-Raja dan Perlembagaan negara.


Pkr memang dilihat tidak ada masalah untuk menarik orang Melayu menyertai, bersimpati dan menyokong mereka kerana parti itu mempunyai banyak isu dan ramai pemimpin Melayu didalamnya yang membolehkan ia mudah diterima. Berbeza dengan Dap, kiranya keputusan PRU 13 ini memperlihatkan calon-calon Melayunya diterima oleh pengundi, ia akan menyaksikan lebih ramai orang Melayu menyertainya selepas itu.


Dalam hal ini Umno tidak ada pilihan kecuali berubah sesuai dengan kehendak generasi akan datang dan kedudukan masyarakat majmuk negara ini. Jika ia gagal atau tidak mahu berubah, Umno akan menjadi dinasour yang akhirnya pupus ditelan zaman kerana gagal menyesuaikan diri. Di Sabah misalnya, Umno turut dianggotai oleh kaum Bumiputera lainnya selain Melayu. Jika Umno Sabah hanya untuk Melayu sahaja, sudah lama ia gulung tikar dan menadi sejarah.


Saoal bagaimana bentuk perubahan itu mahu dilakukan, terserahlah kepada pimpinan dan ahli Umno sendiri menentukan tetapi ia harus dilihat dengan serius selepas pilihanraya umum akan datang. Lagi pula parti-parti politik di negara lain yang penduduknya lebih daripada satu kaum seperti Amerika, Britain dan Australia juga tidak bersifat perkauman. Tidak ada parti yang hanya untuk orang kulit putih atau kulit hitam sahaja di negara-negara tersebut. Tambahan pula parti yang bersifat perkauman yang kekal sebagai pemerintah hanya tinggal di Malaysia sahaja.


Pilihan nampaknya hampir tidak ada jika Umno ingin dilihat terus kekal kewujudannya

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.