Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

PAS dan Umno, hudud dan perlaksanaan: Realiti semasa 

Pak Sako

CPI
Aug 31, 2012 

Mahathir Mohamad telah mempelawa PAS untuk melaksanakan hukum hudud di bawah payung Barisan Nasional (BN).

Nyata bahawa pelawaan ini cuma sebuah taktik politik yang kecil. Namun begitu, satu pertimbangan yang ringkas boleh dilakukan mengenai kemungkinan PAS bersekutu dengan Umno, sama ada untuk tujuan melaksanakan hukum hudud atau untuk sebarang sebab yang lain.

Kesimpulannya perpaduan atau kerjasama seperti itu tidak realistik dan ditakdirkan gagal kerana tiga faktor yang fundamental.

Faktor pertama, kemunculan PAS sebagai pemain politik baru bersama Umno akan menggoyahkan formula perkongsian kuasa BN yang berpandukan kaum. PAS dengan 23 kerusi parlimennya mempunyai mandat kuasa yang lebih signifikan berbanding parti Cina MCA (15 kerusi Parlimen), parti India MIC (3 kerusi), Gerakan (2) atau ketiga-tiganya sekali.

Ini menimbulkan dilema politik kerana MCA, MIC dan Gerakan perlu dikebelakangkan untuk memberi ruang kepada PAS. Hasil ini tidak akan diterima oleh penyokong BN terutamanya yang bukan Melayu, apatah lagi niat PAS dan Umno untuk berhudud apabila MCA menolak hudud.

Sebaliknya jika pengagihan kuasa mengikut kepentingan kaum dikekalkan, amanah para pengundi PAS dan prinsip demokrasi perlu dikebelakangkan. Kemungkinan PAS dan Umno bertelingkah mengenai hal perkongsian kuasa dan penentuan polisi sesama mereka juga tidak boleh ditolak.

Faktor kedua ialah pemahaman dan pendekatan politik yang bercanggah. Justeru itu kerjasama PAS-Umno akan mengundang konflik dari sudut-sudut yang sukar didamaikan. Misalnya PAS sejak 1980-an telah menolak penonjolan kaum dan menekankan pendekatan politik yang berpolakan Islam.

Pendekatan Umno masih berlandaskan nasionalisme Melayu. Di sebalik retorik Islam yang lantang, pada pokoknya pandangan dan tatalaku para pemimpin Umno masih moderat dan sekular berbanding kepimpinan PAS, terutamanya faksi ulama. Kepimpinan Umno pasti juga akan kurang selesa dengan pendirian PAS terhadap isu ketelusan dan korupsi.

Faktor ketiga yang tidak memungkinkan kerjasama PAS dan Umno berkait dengan kehendak rakyat.

Sebilangan besar rakyat mahukan satu alternatif kepada budaya politik dan cara pembangunan Umno-BN yang amat bersandarkan kaum, kapitalis dan sistem naungan (patronage). Undi masyarakat untuk PAS dan parti-parti pembangkang yang lain mencerminkan keinginan untuk sebuah paradigma baru. Sekiranya PAS mengkhianati kepercayaan masyarakat, akibatnya ialah bunuh-diri politik (political suicide) buat PAS.

Secara keseluruhan, kos bagi PAS untuk berdempet dengan Umno terlalu tinggi, kecuali kalau timbul suatu kecemasan.

Perselisihan di antara PAS dan DAP berkenaan hudud pula sebenarnya bukan satu jalan mati. Ianya boleh diselesaikan. PAS perlu bersifat lebih pragmatik. PAS perlu memberi tumpuan kepada matlamat dan bukan kaedah semata-mata. Kalau dilihat di dalam konteks asalnya, matlamat hudud ialah untuk mengatasi jenayah-jenayah tertentu yang berlaku di Tanah Arab yang khusus kepada budaya dan zaman tersebut.

Rumusan hudud yang diwujudkan itu tertakluk kepada kelemahan-kelemahan keinstitusian yang berleluasa pada masa itu. Pendek kata, ia muncul daripada proses pencarian langkah-langkah untuk mengatasi jenayah dengan kebolehan dan sumber terhad yang ada.

Oleh yang demikian soal pelaksanaan apa-apa undang-undang, termasuk hukum hudud, memerlukan ijtihad atau tafsiran yang sesuai dengan situasi zaman sekarang. Ia perlulah berdasarkan keadaan, kebolehan dan keperluan semasa, perundangan yang sudah sedia ada, penerimaannya oleh segenap lapisan masyarakat dan perlu memperhitungkan sifat dan semangat negara Malaysia yang pluralistik yang berbeza dengan keadaan dan kebiasaan negara-negara Timur Tengah.

Selain perkara-perkara di atas, pengadilan yang saksama untuk setiap warga Malaysia — tidak kira Muslim atau bukan Muslim — merupakan satu aspek yang perlu diambil serius. Para pemimpin juga harus menerima hakikat bahawa bukan seluruh kaum Muslimin di Malaysia mahukan supaya hukum hudud dilaksanakan, termasuk mereka-mereka yang cukup terdidik mengenainya. Aspek demokratik ini tidak harus diremeh-temehkan.

Ini selari dengan pandangan yang diberikan bekas mufti Perlis Mohd Asri Zainal Abidin baru-baru ini (rujuk sini, “Baru insaf belum tentu faham Islam, pesan Dr Maza kepada Abby”, The Malaysian Insider, 30 Ogos 2012).

Kesediaan PAS untuk melangsungkan dialog berdasarkan pemahaman seperti di atas jauh lebih bermakna dan mampu membuahkan hasil.

Jika PAS berhasrat memegang tampuk pemerintahan negara, parti tersebut perlu mengamalkan pendekatan baru kepada falsafah Islam yang selaras dengan hasrat ini.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.