Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi (IPT), Syahrin Md. Jamaludin
$entry.content.caption.value
 
SENAI - Pemuda Umno meminta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberikan garis panduan yang jelas bagi membolehkan usaha menubuhkan kelab penyokong parti di setiap institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diteruskan.

Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi (IPT) Pemuda Umno, Syahrin Md Jamaludin berkata, permintaan itu bertujuan membantu sayap parti itu meneruskan rancangan dibuat tanpa melanggar sebarang  undang-undang Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) atau sensitiviti KPT.


“Pemuda Umno sedang memperhalusi kaedah untuk menubuhkan kelab penyokong ini agar penubuhan ia tidak melanggar undang-undang, sebaliknya menghormati institusi kementerian.


“KPT diminta menzahirkan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh untuk memperjelaskan segala-galanya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.


Beliau mengulas lanjut berhubung rancangan penubuhan kelab penyokong parti di luar kampus di setiap IPTA.


Syahrin yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Tebrau berkata, tiada paksaan ke atas setiap mahasiswa sertai kelab penyokong berkenaan.


Menurutnya, rancangan untuk menubuhkan kelab penyokong itu akan membolehkan mahasiswa tampil ke depan seterusnya menyatakan pendirian menyokong mana-mana parti politik.


“Pemuda Umno faham tidak semua mahasiswa berminat sertai politik, namun kita tidak nafikan ada yang cenderung ke arah itu malah berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO).“


Kita tidak suruh mereka untuk menyertai. Tidak masuk pun tidak mengapa kerana kelab ini memberi peluang kepada mereka yang benar-benar berminat sahaja," katanya.