Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail
PETALING JAYA – Sementara spekulasi mengenai Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berterusan, PKR memulakan siri baru - Jelajah Merdeka Rakyat ke seluruh Semenanjung untuk mendekati dan menyampaikan mesej kepada rakyat agar beri peluang kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk mengubah Kerajaan Pusat.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, siri jelajah itu diadakan secara berterusan sehingga Parlimen dibubarkan dan akan diteruskan sepanjang tempoh pilihan raya.


Menurutnya, jelajah itu juga adalah kesinambungan 20 siri program Merdeka Rakyat yang diadakan sejak tiga bulan lalu.


“Ia merupakan inisiatif baru seiring dengan perkembangan semasa untuk membolehkan parti menyampaikan mesej secara langsung kepada pengundi akar umbi sama ada di bandar, desa, kampung, taman perumahan dan sebagainya di seluruh negara.


“Kini pengundi lebih kreatif. Kami akan ke destinasi masyarakat berkumpul seperti warung, masjid, pasar malam untuk mengedarkan risalah mengenai kenaikan harga barang, tawaran pengurangan duti kereta dan sebagainya,” katanya ketika berucap di program perasmian Jelajah Bas sempena Aidilfitri bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.


Turut hadir Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Saifuddin berkata, siri jelajah itu juga memberi peluang kepada rakyat memberikan maklum balas secara langsung kepada parti, syor, pandangan dan kritikan secara bersemuka.


Menurutnya, ramai pemimpin PKR Pusat akan terlibat dalam siri jelajah itu dan mereka akan berada di Pahang, Kelantan, Kedah dan Perlis.


“Bas itu mempunyai 19 tempat duduk, kemudahan wifi, tempat mesyuarat, tandas dan dilengkapi sistem bunyi dan pentas segera,” katanya.


Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, idea untuk menggunakan bas tersebut bermula sejak 2008 tetapi tidak kesampaian.


“Waktu itu, kami tidak mempunyai sumber kewangan dan ada pihak yang tidak percaya kepada PKR untuk membuat bas bergerak.


“Hari ini ia menjadi kenyataan. Ramai pemimpin PKR akan turun padang untuk bertemu rakyat secara dekat,” katanya.


Beliau berkata, kos bas tersebut adalah 60 sen untuk perjalanan satu kilometer.