KTM
$entry.content.caption.value
KUALA LUMPUR - Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) hari ini menggesa kerajaan menolak cadangan MMC Corporation Berhad untuk mengambil alih Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Presidennya Abdul Razak Md Hassan berkata kerajaan harus membenarkan Presiden KTMB Datuk Elias Kadir yang baharu dilantik menjalankan tugasnya terlebih dahulu sebelum membuka peluang pengambilalihan kepada MMC.


"Mengapa tidak ditunggu dan diberi peluang kepada Elias untuk melaksanakan pelan pembaharuannya," katanya pada sidang media, di sini.


Beliau mengulas laporan sebuah akhbar baru-baru ini yang antara lain menyebut MMC telah menyerahkan cadangan pengambilalihan KTMB kepada kerajaan.


Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata persatuan itu bimbang jika KTMB diambil alih MMC, kebajikan pekerja syarikat kereta api negara tersebut akan terjejas.   


"Sebanyak 60 peratus kos dilabur untuk kebajikan pekerja KTMB, kalau mahu menukar KTMB menjadi satu entiti yang menguntungkan, syarikat korporat ini terpaksa memotong kos dan separuh daripada pekerja KTMB mungkin terpaksa dibuang," katanya.


Beliau juga menegaskan KTMB menawarkan perkhidmatan berasaskan tanggungjawab sosial, bukan satu entiti bertujuan keuntungan seperti yang mahu dilakukan MMC.


Sehubungan itu, Abdul Razak berkata KPPKTMB) merancang mengadakan perhimpunan bagi membantah cadangan tersebut pada 12 Oktober ini di pekarangan ibu pejabat KTMB di sini. - Bernama