Kerajaan Negeri tidak mampu ambil alih empat syarikat konsensi air di Selangor kata Dr Hasan
February 02, 2013
KUALA
LANGAT, 2 Feb — Bekas exco kerajaan negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali
mempersoalkan kemampuan kerajaan negeri itu mengambil alih dan mengurus
empat syarikat konsesi air di Selangor.
Beliau mendakwa kerajaan Selangor tidak mempunyai sumber kewangan
yang diperlukan untuk meneruskan rancangan pengambilan alih empat
syarikat itu.
Keempat-empat syarikat tersebut adalah Puncak Niaga (M) Sdn Bhd
(PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Konsortium Abbas
Sdn Bhd (ABASS) dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH).
Hasan (gambar), yang juga Presiden Persatuan Jalur
Tiga (JATI), berkata demikian dalam Forum ‘Jom Tolak Pakatan’ anjuran
Sekretariat ‘Jom Tolak Pakatan’ di Kampung Medan, Sijangkang, dekat
sini, malam tadi.
Forum tersebut turut dihadiri Timbalan Pengerusi Barisan Nasional
(BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar. Hasan mempertikaikan mengapa
kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu beria-ria mahu
mengambil alih syarikat konsesi itu terutamanya SYABAS yang memang
mempunyai kepakaran dan 90 peratus tenaga kerja dan pengurusannya adalah
kaum Bumiputera.
Sementara itu, Noh berkata kerajaan negeri tidak memikirkan kebajikan
rakyat di mana ia telah menahan perbelanjaan modal (CAPEX) bagi SYABAS
yang diperlukan oleh syarikat itu bagi mengganti paip-paip lama untuk
mengurangkan kehilangan air semasa pembekalan ke rumah.
Selain itu, projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 ingin
dicampurkan oleh kerajaan negeri dalam proses penstrukturan air di
Selangor sedangkan ia adalah dua isu yang berbeza, katanya.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan tidak ada ada masalah untuk
kerajaan negeri mengambil alih empat syarikat konsesi air itu tetapi ia
perlu berunding dengan syarikat berkenaan atas prinsip ‘willing buyer,
willing seller’ (berminat membeli-berminat menjual).
Beliau mendakwa pada masa ini bekalan air di Lembah Klang hanya cukup
untuk kegunaan semasa dan tidak mencukupi untuk kegunaan projek
pembangunan perindustrian di Selangor.
Beliau mendakwa setakat bulan lepas, sebanyak 450 projek kilang
baharu tidak dapat dimulakan kerana air tidak mencukupi untuk mereka
beroperasi jika kilang mereka siap nanti
Pada tahun lepas sahaja sejumlah 236 projek kilang baharu tidak dapat
dimulakan kerana faktor yang sama mengakibatkan kehilangan 12,367
peluang pekerjaan untuk anak-anak Selangor, katanya. — Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment