Kelantan teliti semula fatwa Syiah
Datuk Mohamad Shukri Mohamad
 
KOTA BHARU- Pejabat Mufti Kelantan sedang meneliti semula fatwa berkaitan ajaran Syiah di negeri ini seterusnya membuat penambahbaikan bagi menghalang penyebarannya dalam kalangan masyarakat di sini.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, penelitian dan penambahbaikan itu perlu dilakukan bagi memastikan fatwa yang dikeluarkan nanti tidak dipersoalkan selain dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Fatwa tentang ajaran Syiah di Kelantan pernah dikeluarkan sebelum ini, namun terdapat beberapa perkara perlu dibuat penambahbaikan kukuhkan fatwa sedia ada.

“Proses penambahbaikan itu dijangka siap dalam waktu terdekat, dan insya-ALLAH mungkin selepas Aidilfitri nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu ajaran Syiah yang semakin hangat diperkatakan di seluruh negara kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, tidak dinafikan ajaran Syiah turut tersebar di Kelantan tetapi dalam keadaan terkawal.

“Pihak berkuasa sentiasa memantau pergerakan ajaran Syiah yang dilaporkan bergerak secara ‘low profile’ dan setakat ini masih dalam keadaan terkawal,” katanya.

Mohamad Shukri berkata, berdasarkan undang-undang tubuh kerajaan Negeri Kelantan, amalan yang dibenarkan di negeri ini hanyalah ahli Sunah wal Jamaah, manakala selainnya tidak dibenarkan sama sekali.

“Nasihat saya, janganlah suasana ini dikeruhkan oleh mana-mana pihak, biarlah ajaran yang sudah menjadi amalan sejak turun- temurun ini terus terpelihara,” katanya.