• Jamil Khir Baharom Jamil Khir Baharom
1 / 1
YAN - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera membatalkan konsert kumpulan heavy metal 'Lamb of God' yang dijadual membuat persembahan di Kuala Lumpur pada 28 September ini.

Katanya beliau menyokong keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) 
mengeluarkan kenyataan mendesak pihak berkenaan membatalkan konsert tersebut.

"Saya harap pihak berwajib putuskan segera isu ini kerana masyarakat
menentangnya...bukan sahaja Jakim, NGO (badan bukan kerajaan) Muslim juga sepakat konsert ini (perlu) diharamkan dan tidak dibawa ke Malaysia," kata Jamil Khir yang ditemui pemberita dalam program santai bersama penduduk di Sungai Limau Dalam, dekat sini, hari ini.

Katanya beliau tidak pasti sama ada konsert tersebut sudah mendapat
kelulusan tetapi sekiranya sudah dikeluarkan ia hendaklah ditarik balik.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha Jakim dalam kenyataan dua hari
lepas berkata bantahan itu dibuat berikutan genre muzik kumpulan berkenaan yang pernah membuat persembahan dengan mencampuradukkan lagu metal dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Beliau berkata bantahan itu juga selaras dengan keputusan Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa ke-72 bahawa amalan dan perbuatan kumpulan heavy metal adalah sesat serta bercanggah dengan ajaran Islam.

Sementara itu, Jamil Khir yang juga anggota Parlimen Jerai berkata program
santai di kawasannya itu bertujuan mendekati pemimpin dan masyarakat setempat bagi menyelami masalah mereka untuk diatasi bersama.

Katanya pertemuan tidak rasmi seumpama itu memberikan kelebihan untuk
mendapat maklumat dan keperluan rakyat dengan lebih jelas. - Bernama