7 individu putih mata
GEORGETOWN - Tujuh individu di Pulau Pinang, yang menghantar borang
untuk bertanding beberapa jawatan pada pemilihan Umno Oktober ini,
ditolak borang pencalonan kerana status keanggotaan mereka.
Keanggotaan mereka digantung atas beberapa sebab antaranya dakwaan
mensabotaj parti pada PRU13, kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno
Negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir hari ini.
"Kami terima surat penggantungan keahlian tujuh calon yang ingin
bertanding itu pada pukul 4.45 petang 21 Sept 2013 iaitu pada hari
penyerahan borang pencalonan untuk bertanding.
"Ini adalah keputusan Umno Pusat dan bukan dari Umno Pulau Pinang," katanya dalam sidang media di sini.
Musa berkata tujuh pencalonan yang ditolak itu ialah bekas Timbalan
Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Abd Rashid Abdullah yang mahu
bertanding jawatan ketua Umno Bahagian Nibong Tebal dan bekas anggota
Dewan Undangan Negeri Sungai Dua Datuk Jasmin Mohamed yang berhasrat
bertanding jawatan ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor.
Lima pencalonan lain yang ditolak ialah Dr Md Rozi Yusof untuk timbalan
ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Mahamad Tahir Yusof (pengerusi tetap
bahagian Tasek Gelugor), dan Salmah Ahmad, Azmidy Mohamad serta Rahim
Che Noor, ketiga-tiga mereka bertanding untuk jawatan anggota
Jawatankuasa Bahagian Tasek Gelugor.
Musa berkata sebanyak 32 calon di negeri ini, yang menyerahkan borang
pencalonan pada Sabtu untuk bertanding, disahkan menarik diri selepas
tempoh bertenang selama 72 jam tamat.
Katanya penarikan diri itu menjadikan jumlah keseluruhan calon yang
akan bertanding pada pemilihan Umno di negeri ini seramai 1,924 orang.
"Bagaimanapun itu bukanlah keputusan akhir kerana calon-calon akan
melalui satu lagi saringan di peringkat pusat, yang akan tentukan sama
ada calon ada terlibat dengan kegiatan jenayah ataupun diisytiharkan
bankrup," jelas beliau.
Yang turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Pulau Pinang Datuk Daud Taha.
Pada pemilihan kali ini, Musa berkata terdapat tiga bahagian
menyaksikan pertandingan empat penjuru bagi merebut jawatan ketua Umno
Bahagian iaitu di Permatang Pauh, Jelutong dan Bukit Bendera.
Selain itu terdapat satu bahagian menyaksikan pertandingan tiga penjuru
untuk jawatan ketua Umno bahagian iaitu Bagan, manakala empat bahagian
menyaksikan pertandingan satu lawan satu untuk jawatan yang sama iaitu
Kepala Batas, Batu Kawan, Tasek Gelugor dan Bayan Baru.
Sementara itu, Daud berkata Lembaga Disiplin Umno masih menjalankan
siasatan terhadap dakwaan yang dikenakan kepada tujuh orang yang
ditolak pencalonan mereka itu.
"(Bagaimanapun) menurut surat yang dikeluarkan pada 20 Sept yang saya
terima sehari selepas itu menyatakan bahawa mereka hilang kelayakan
sebagai ahli Umno, tidak boleh dipilih dan memilih (untuk mana-mana
jawatan) sehingga kes mereka selesai," katanya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment