• Charles Anthony Santiago Charles Anthony Santiago
1 / 1
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan kedudukan lokasi sebenar pembinaan loji nuklear yang didakwa sudah diputuskan namun dirahsiakan.
Persoalan yang itu ditimbulkan Charles Anthony Santiago (DAP-Klang) dan Dr Che Rosli Che Mat (Pas-Hulu Langat) pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Charles berkata, sebelum ini jawapan yang diberikan kepadanya oleh kementerian berkaitan mengatakan lokasi tersebut belum diputuskan lagi.

"Laporan World Nuclear Association menyebut lima lokasi berkemungkinan sudah dikenalpasti di Semenanjung Malaysia.

"Tetapi kementerian mengatakan ia belum diputuskan. Nampaknya keputusan sudah dibuat tetapi dirahsiakan dari Parlimen dan rakyat," kata Charles.

Tahun lalu, Najib berkata, kerajaan setakat ini hanya mengkaji pemilihan tapak loji nuklear tetapi belum membuat sebarang keputusan muktamad untuk melaksanakan projek tersebut.

Menurut beliau, hanya kajian pemilihan tapak yang berdasarkan pelbagai peta digital bagi Semenanjung sahaja telah dijalankan, tanpa sebarang kerja lapangan dilaksanakan hingga kini.

Katanya, kajian awal berkenaan hanya tertumpu kepada usaha mengenalpasti "keperluan dan persediaan awal" sekiranya projek tersebut dilaksanakan.


Sementara itu, Dr Che Rosli berkata, "tiada transparensi dalam isu ini. Kita tuntut PM jelaskan."