Mat Taib
Mat Taib: Jadi MB, naib presiden Umno pada usia muda
OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
SEPTEMBER 29, 2013
OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
SEPTEMBER 29, 2013
Tan Sri Muhammad Muhd Taib jadi menteri besar dan naib presiden Umno ketika usia 40-an.
Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 29 September, 2013.
Semasa sedang
enak menikmati ikan bakar di salah sebuah warung di Kuala Lumpur, bekas
naib presiden Umno yang pernah menggemparkan negara suatu masa dahulu
menghubungi dan minta hadir ke rumahnya di Shah Alam setelah beberapa
temu janji yang dirancang tidak berjaya.
Rumah orang
kenamaan itu seperti yang sering digambarkan televisyen adalah rumah
banglo atas bukit tersergam indah dengan barisan kereta mewah dan ada
beberapa pembantu rumah.
Di laman rumahnya, ada dua buruh binaan yang sedang melakukan kerja pengubahsuaian.
Beliau sedang
melayan dua tetamu yang terlebih dahulu datang bertandang dan butiran
perbualan mereka banyak berkisar tentang politik.Setelah memberi salam,
kelibat personaliti minggu ini, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menyapa
dengan penuh mesra dan menjemput masuk ke singgahsananya.
Sementara
menunggu giliran menemu bual bekas veteran Umno itu, peluang yang ada
digunakan bagi melihat keindahan segenap penjuru rumah.
Anak perempuannya memiliki enam ekor kucing yang sangat comel dan ditunjukkan kepada kami.
Setelah
kira-kira 10 minit menunggu, orang yang ditunggu pun bersedia untuk
ditemubual mengenakan kurta putih dan berkain pelekat.
Melihat garis muka di wajahnya, teringat pesanan awal beliau yang tidak mahu jurugambar hadir pada sesi temu ramah hari ini.
Logo kerajaan
yang tertera pada cawan minuman kami, jelas membayangkan pengalamannya
berkhidmat bersama kerajaan ‘minoriti’ hari ini.
Tanpa banyak
membuang masa, soalan pertama terus diajukan untuk mengetahui apakah
aktiviti sehariannya setelah tidak lagi bergiat aktif dalam arena
politik.
"Saya ke surau
setiap hari bagi mendalami isi kandungan al-Quran kerana sebagai umat
Islam sepatutnya menjadi budaya sedari kecil hingga ke liang lahat. Ini
satu proses berterusan.
"Kita perlu
mendidik masyarakat kepada perkara benar dan mendidik anak bangsa kerana
ini yang diterapkan oleh Nabi Muhammad dalam ajaran agama kepada
seluruh umat manusia,” katanya dalam nada tenang memulakan perbualan.
Beliau yang juga dikenali sebagai Mat Taib menceritakan sejarah bagaimana beliau mula berkecimpung dalam arena politik.
"Ibu dan ayah
saya aktif dalam pergerakan Umno. Bapa saya pernah menjadi Ketua
Cawangan dan Ibu saya juga pernah menjadi Ketua Wanita Cawangan. Boleh
dikatakan sejak kecil lagi saya bergelumang dengan dunia politik.
"Namun dalam 10
orang adik-beradik, hanya saya anak ketiga dari kalangan mereka yang
menceburkan diri dalam arena politik. Saya mempunyai tujuh adik-beradik
lelaki dan tiga perempuan.
"Ada di
kalangan ahli keluarga saya menjadi seorang doktor, saintis, pegawai
bank, jurutera elektrik dan pensyarah. Ayah saya dahulu cenderung
menghantar adik perempuan saya ke kolej Islam dan lelaki diterapkan
dalam bidang akademik dan profesional,” katanya.
Bekas Menteri Besar Selangor itu dikurniakan 11 cahaya mata dan cucu seramai tujuh orang.
“Anak perempuan
saya yang bongsu kini bersekolah menengah di tingkatan dua,” katanya
yang teragak-agak memberitahu umur anak bongsunya itu.
The Malaysian
Insider pastinya tidak mahu melepaskan peluang mendalami dasar pemikiran
pemimpin veteran ini yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara
amnya dan negeri Selangor khususnya.
Nada pertuturan
beliau mula bersemangat apabila tabir kisah politik dibuka ibarat
deruman motosikal berkuasa tinggi menuju ke sempadan.
Muhammad yang
seakan sudah sinonim dengan perjuangan parti simbolik Melayu itu melihat
Umno perlu mendidik dan membuka akal fikiran dengan menyampaikan
situasi sebenar negara.
Katanya,
pemimpin Umno perlu segera mengelak membesar-besarkan isu remeh dan
parti itu perlu menjadi ketua serta payung kepada semua kaum kerana
sejak akhir-akhir ini parti itu dilihat cuba memainkan sentimen
perkauman.
"Sentimen itu
pula terang bertentangan dengan ajaran Islam. Nabi Muhammad sendiri
semasa menjadi pemerintah di Madinah berlaku adil kepada orang Islam dan
bukan Islam. Jika menyampaikan bantuan semua pihak dapat.
"Nabi sebelum
wafatnya berpesan jangan meninggalkan solat dan lindungi orang yang
lemah di antara kamu. Ini yang sepatutnya diamalkan Umno bukan
berterusan menjaga kepentingan sesuatu kaum sahaja.
"Mereka mengaku
beragama Islam tetapi adakah mereka mengikut ajaran Islam? Kita harus
membantu kaum di Malaysia mengikut nisbah mereka tanpa ada muslihat
tertentu,” katanya yang faham asam garam perjuangan parti Melayu itu.
Pemimpin yang
baru sahaja menyertai PAS sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) itu
menegaskan sudah tiba masanya kerajaan menilai semula bantuan yang
diberikan kepada kaum Bumiputera.
Katanya,
selepas peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, banyak pihak yang boleh
menerima program khas untuk Bumiputera seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB)
yang mahu mencapai sasaran penguasaan ekonomi Bumiputera sebanyak 30
peratus tetapi perkara itu semua telah berlalu.
"Program ini
tidak berjaya. Salah siapa? Sekarang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
mahu wujudkan pula program pemerkasaan ekonomi Bumiputera dan saya
berpendapat ia tidak sesuai. Kerajaan perlu adil menjaga kebajikan semua
kaum.
"Kaum bukan
Bumiputera datang ke sini bukan salah kita. Penjajah dan peniaga asing
yang membawa mereka ke sini. Sekarang bukan lagi masa kerajaan memberi
bantuan sepenuhnya kepada orang Melayu tetapi pembangunan minda dan
semangat juang mereka perlu ditingkatkan.
"Permaisuri
Victoria di Britain suatu masa dahulu mencerdaskan orang Barat dengan
ilmu dan geran penyelidikan maka lahirlah pencipta kapal terbang, kereta
dan telefon semasa zaman Revolusi Industri,” katanya yang mahu kerajaan
mengambil iktibar kegagalan DEB.
Beliau berkata,
pemimpin Jepun pada masa itu turut tidak mahu ketinggalan dengan
menggunakan pendekatan sama sehinggakan Jepun menjadi bangsa berilmu dan
ahli perniagaan ternama.
Menurutnya,
Malaysia harus mengambil pendekatan tersebut dengan menyediakan banyak
peluang kepada rakyat selain pendekatan kerajaan kini yang gemar
menggunakan jalan mudah menghulurkan wang untuk mendapat sokongan serta
menggunakan pendekatan perkauman bagi menentang kaum lain dalam negara
ini.
Muhammad yang
menyertai Umno pada 1964 menyifatkan mereka yang menyertai Umno pada
masa kini hanyalah untuk mendapat kontrak, menjadi kaya dan menjaga
kepentingan diri sendiri.
Beliau berkata, ahli Umno kini tidak lagi berjuang untuk bangsa dan tugas hakiki mereka pula diserahkan kepada agensi kerajaan.
"Umno mesti
jadi ketua pembangunan. Apa program tingkatkan mutu orang Melayu?
Pemimpin yang dilanda masalah juga mahu bertanding. Saya lihat Menteri
Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi layak dipilih menjadi naib presiden Umno.
"Saya lihat
Senator Datuk Maznah Mazlan boleh memimpin sayap Wanita Umno. Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil nak buat apa lagi?," katanya yang menyenaraikan
calon pilihannya dalam pemilihan Umno kelak.
Selain itu, beliau berpendapat PR sudah memenangi PRU13 dan sepatutnya menubuhkan kerajaan.
Katanya, rakyat jelas menolak BN dengan bukti undi popular mereka hanya 47 peratus dan BN membentuk kerajaan minoriti.
“Sistem nisbah kerusi dengan jumlah penduduk Malaysia yang tidak seimbang menyumbang kemenangan BN.
"Saya tiada
bukti mendakwa penipuan dalam PRU13 tetapi biasanya kerajaan pemerintah
mahu mengekalkan kuasa dengan apa cara sekali pun,” katanya dalam nada
tenang yang sekali sekala mengusik mahu perhatian pada lontaran ideanya.
Mengabaikan
kelibat jurugambar yang gemar mendapatkan aksi terbaik, beliau sempat
mengulas entiti akhbar milik Umno, Utusan Malaysia yang dilihatnya tidak
adil dalam laporan.
Beliau berkata,
sudah tiba masanya masyarakat perlu dididik dan akhbar tidak seharusnya
menjadi berat sebelah dengan menyiarkan ulasan pihak menyokong sahaja
kerana sesuatu isu perlu dibahas dengan meluas.
"Utusan wajar
mencontohi media asing yang lebih bersifat nenyeluruh. Selain itu,
rakyat juga perlu bijak menilai dan jangan terus percaya kepada tulisan
mereka tanpa usul periksa.
"Jika kaum
Melayu masih terus dihidangkan dengan bahan bacaan di peringkat jumud,
bagaimana kita mahu menjadi masyarakat antarabangsa, hebat dan mampu
mengupas sesuatu isu yang lebih besar?
"Kerajaan
sepatutnya memberi kebebasan akhbar untuk mengupas sesuatu isu dengan
lebih luas dan mendalam sebagaimana yang diamalkan di Indonesia. Akhbar
mereka bebas membuat liputan dengan memberi keadilan kepada kedua-dua
pihak,” nadanya kambali tegas dengan sekali-sekala mengetuk meja
melontarkan idea.
Muhammad juga nyata bersetuju supaya lebih ramai orang muda menerajui Umno supaya lebih banyak idea segar dan baru mampu dijana.
“Tiada
salahnya. Saya jadi Naib Presiden lebih muda daripada Mukhriz. Saya
dalam lingkungan awal 40-an dah jadi MB Selangor dan Naib Presiden Umno.
Mukhriz sekarang 49 tahun. Beliau ada ketokohan, berwawasan dan
mempunyai profil cemerlang. Saya lihat dia salah seorang yang boleh
dibawa ke depan,” katanya.
Katanya, Umno
perlu segera keluar daripada ideologi membentuk pasukan tertentu yang
kononnya juga bertujuan memastikan strategi kempen kemenangan mereka
berjaya.
“Saya fikir
tidak bagus diwujudkan pasukan kerana akan melemahkan perjuangan. Pilih
siapa yang layak. Pengundi yang baik akan dipilih berdasarkan prestasi.
“Prestasi
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam sayap Pemuda
Umno berada dalam keadaan terbaik. Saya lihat dia boleh bertahan dengan
segala ujian yang diberikan kepadanya. Khairy seorang pemimpin yang
boleh pergi jauh dan boleh disokong.
“Kepimpinan
beliau sesuai dengan zamannya. Jika dahulu pendekatan pendesak mungkin
berkesan kerana suara akar umbi tidak didengari. Tetapi Khairy seorang
menteri, apa nak desak lagi? Lakukan apa yang dirancang,” katanya yang
menafikan keperluan kumpulan pendesak dalam sayap Pemuda Umno.
Dengan segala yang dilaluinya, beliau kini sudah berasa pahit manis dan jatuh bangun dalam kerajaan dan Umno.
“Saya terima
hukum dan apa yang ditakdirkan kepada saya. Jika setakat ini perjalanan
saya, cukuplah. Saya akan terus menyumbang dan memberi teguran baik
kepada pihak PAS mahu pun Umno,” katanya yang ingin bergegas mengakhiri
wawancara untuk segera menunaikan solat Zohor. – 29 September, 2013
0 orang berkata:
Post a Comment