• Phahrolrazi: Tiada komplot jatuh MB Kedah Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi
1 / 1
ALOR SETAR – “Saya tidak pernah bermusuh ataupun pernah berdendam dengan Ustaz Azizan! Dia sahabat baik saya sejak di bangku sekolah lagi,” kata bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.

Menurutnya, dakwaan yang mengatakan mereka pernah bergaduh sebelum ini juga adalah tidak benar sama sekali.


“Pada ketika itu, saya cuma mengambil pendekatan untuk mengundur diri daripada memegang jawatan exco sebab tidak mahu menyusahkan Ustaz Azizan.


“Nanti saya bagi pendapat, dia tidak setuju pula. Jadi saya buat keputusan untuk ambil sikap mengalah. Tetapi rakyat mahu saya terus memegang jawatan exco untuk kukuhkan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Menurutnya, mereka antara sahabat yang paling lama bersama. Bermula dari Maktab Mahmud sekitar tahun 1966, kemudian berjumpa semula pada satu majlis ketika menuntut di dua universiti berlainan.


“Persahabatan kami kekal sehingga akhir hayatnya. Meskipun berlainan peringkat usia, namun kami tetap berbincang dan bertukar pendapat semasa mentadbir negeri ini dulu,” katanya.


Phahrolrazi berkata, sepanjang pentadbiran Azizan sebagai Menteri Besar Kedah, beliau banyak membawa sifat-sifat seorang pendidik dalam negeri ini kerana mempunyai pengalaman sebagai seorang guru.


“Sebagai manusia, kita mempunyai banyak perbezaan antara satu dengan yang lain, tetapi dia banyak memberi tunjuk ajar.


“Cuma kadang-kadang itu berlaku perbezaan pendapat. Pada saya, itu perkara biasa dalam mentadbir sesebuah negeri. Bagaimanapun, penghormatan saya terhadap beliau amat tinggi,” katanya.