Dadah: Saiful Apek dan 3 lain bebas
PETALING JAYA - Pelakon dan pelawak terkenal Saiful Apek bersama tiga
pekerjanya sekali lagi dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret
daripada pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, tiga tahun lepas.
Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membuat keputusan itu selepas
mendapati pembelaan Saiful Apek, atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam
Mohamed Yusoff, 44, dan tiga pekerja syarikat produksi Gitu-Gitu
Productions iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 30, Shaiful
Baharom, 26, dan Noremy Mohamad, 30, berjaya menimbulkan keraguan
munasabah di akhir kes pembelaan.
Pada 22 Mei lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kesemua
tertuduh membela diri selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap
keputusan Mahkamah Majistret membebaskan mereka daripada pertuduhan pada
25 Jun tahun lepas.
Ahmad Solihin membebaskan Saiful Apek dan pekerjanya selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan
Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Jalan LP 2A/1,
Taman Putra Permai, Seri Kembangan, Petaling Jaya pada 11 malam, 12 Jun
2010.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya
1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang membawa
hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000, jika sabit
kesalahan.
Terdahulu, Saiful Apek ketika membela diri berkata dia tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah membabitkan penggunaan dadah.
"Saya percaya saya telah dianiaya oleh pihak yang dengki dengan kerjaya saya sebagai artis," katanya.
Pelakon itu turut memaklumkan mahkamah bahawa dia tidak pernah mengambil atau menghisap apa-apa jenis dadah.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad, ketika ditemui di luar
mahkamah, memaklumkan media pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap
keputusan itu dalam masa terdekat.
Sementara itu, Saiful Apek berkata, beliau bersyukur dengan keputusan
mahkamah yang sekali gus memberi satu harapan baharu buat dirinya. -
Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment