Maszlee 
SHAH ALAM - Hukuman mati ke atas 529 ahli Ikhwanul Muslimin (IM) dikhuatiri akan melahirkan kumpulan radikal dan subversif baharu yang kecewa dengan penindasan terhadap golongan moderat Islam.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik berkata, perkara sama pernah berlaku sebelum ini ketika pemerintahan Gamal Abdul Nasir sehingga mencetuskan kemunculan kumpulan pengganas al-Qaeda.

“Apa yang dilakukan rejim Jeneral Abdul Fattah Al-Sisi sekarang akan mencipta pengganas lebih besar di masa depan. Ini kerana mereka telah membunuh harapan golongan moderat yang percaya pada keamanan.

“Tidak mustahil kumpulan pengganas atas nama agama lebih ganas dari al-Qaeda akan muncul. Mereka merupakan kumpulan terpencil yang bangkit dengan keganasan,” katanya, semalam.

Menurutnya, insiden tersebut juga mencatatkan sejarah pencabulan hak asasi manusia yang paling teruk pernah dilakukan.

“Isu ini bukan sahaja mengenai anggota IM,  tetapi pembunuhan hak asasi manusia, demokrasi dan kebebasan. Jika tiada tindakan diambil untuk menghentikan kegilaan rejim Al-Sisi ini, tidak mustahil Mesir mengulangi detik hitam zaman diktator.


“Apa yang berlaku memperlihatkan hipokrasi kuasa-kuasa besar terutama Amerika  Syarikat yang kononnya menjunjung demokrasi,  tetapi berdiam diri melihat penghakiman yang tidak mengikut lunas kedaulatan undang-undang. Ia juga mempamerkan sikap korupsi golongan agamawan di al-Azhar yang dibeli rejim Al-Sisi,” katanya.

Beliau berkata, hukuman mati itu juga bukan mustahil untuk dilaksanakan walaupun dikatakan jarang berlaku di negara itu.

“Hukuman mati bukan pertama kali kerana di zaman Gamal Abdul Nasir, mereka menggunakan mahkamah tentera dan tergesa-gesa.

“Tiada ruang untuk peguam bela, malah mereka sendiri turut dijatuhkan hukuman mati. Sama ada hukuman akan dilaksanakan sekarang bergantung tekanan negara luar,” katanya.

Beliau menyarankan agar negara luar memainkan peranan dengan menghentikan hubungan diplomatik bersama Mesir.

Menurutnya, kerajaan Malaysia  perlu bersikap tegas dengan memanggil pulang pelajar dan kedutaan di sana sebagai bantahan.