Friday, 28 March 2014
Menunggu Jawapan Mahathir Mengenai Memali
Setelah lebih 30 tahun tersimpul rapi, walaupun bekas Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam sebenarnya mempunyai banyak ruang untuk menceritakan segala rahsia mengenai peristiwa Memali sebelum ini, kenapa hanya sekarang beliau mendedahkan perkara itu tentunya menarik perhatian ramai.
Dalam sebuah forum anjuran kerajaan Pas Kelantan di Kota Bharu malam semalam, Musa Hitam yang ketika peristiwa Memali itu merupakan Menteri Dalam Negeri dan dipersalahkan oleh banyak pihak mengenainya, akhirnya mendedahkan bahawa ketika kejadian itu Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri, sebenarnya berada di dalam negara dan bukannnya di China sebagaimana yang diberitahu sebelum ini.
Malah Musa Hitam juga mendedahkan, dua tiga hari selepas kejadian itu pun, Mahathir masih berada di dalam negara.
Kenapa Musa Hitam mengambil masa selama 30 tahun untuk mendedahkan perkara ini sedangkan ketika bersama Team B pada 1987 dahulu atau ketika hebat mengasak Mahathir ekoran pengharaman UMNO pada 1988, beliau tidak mendedahkannya?
Apakah pula signifikannya beliau memilih Kelantan dan berucap di sebuah forum anjuran kerajaan Pas untuk mendedahkan perkara yang tersembunyi selama ini? Apakah ia bertujuan membersihkan dirinya daripada tanggapan buruk Pas selama ini terhadapnya?
Setelah lebih 11 tahun bersara sebagai Perdana Menteri iaitu pada 2003, apakah kerana Mahathir masih aktif, berpengaruh dan mencampuri banyak perkara dalam politik negara, maka tujuan Musa mendedahkan perkara ini ialah untuk menghentikan semua penglibatan Mahathir itu?
Dalam peristiwa Memali yang berlaku pada 1985 dan menyebabkan seramai 14 orang terbunuh serta berpuluh yang lain cedera termasuk Allahyarham Ibrahim Libya, Musa Hitam atas kapasitinya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri adalah paling dipersalahkan atas kejadian itu. Ia diperkukuhkan lagi bahawa ketika kejadian itu Perdana Menteri dilaporkan tidak berada dalam negara dan berada di China.
Selain Musa Hitam menganggap insiden itu sebagai titik hitam dalan karier politiknya, apabila beliau kemudian meletakkan jawatan pada 1986 kerana berkrisis dengan Mahathir dan diikuti dengan kehilangan anaknya, Carlos Musa dalam kejadian Highland Tower, terdapat pengikut Pas yang menganggap ianya sebagai balasan Tuhan terhadap apa yang dilakukannya dalam peristiwa Memali itu.
Musa Hitam, di sebalik pelbagai dakwaan mengenai peranannya dalam peristiwa Memali itu, beliau tidak pula mahu membuka mulut mengenainya. Dengan itu, tafsiran umum ialah ianya merupakan kejadian yang melibatkan peranan penuhnya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, lebih-lebih lagi bila diketahui pula Perdana Menteri tiada dalam negara ketika itu.
Dengan pendedahan Musa Hitam ini, ia tentunya menuntut jawapan segera daripada Mahathir. Jika benar beliau berada di dalam negara, tentunya beliau tidak boleh lepas tangan mengenainya. Konsep pertanggungjawaban bersama tidak mengecualikan Perdana Menteri dalam apa juga kejadian yang berlaku di dalam negara.
Jika dalam Ops Lalang misalnya, Mahathir turut melibatkan Anwar Ibrahim dalam peristiwa itu semata-mata kerana tidak membantah di dalam mesyuarat kabinet atau meletakkan jawatan kerananya, maka dalam peristiwa Memali ini juga Mahathir tidak seharusnya dilepaskan daripada konsep pertanggungjawaban bersama kerana beliau adalah Perdana Menteri ketika itu.
Jika benar beliau berada di Kuala Lumpur ketika kejadian dan dua tiga hari selepasnya, tentulah konsep pertanggungjawaban bersama itu lebih dekat hubungannya lagi dengan kuasa Perdana Menteri yang dipegang Mahathir ketika itu.
Selain itu, apakah juga pendedahan Musa Hitam ini ada kaitan dengan beberapa kritikan yang sejak beberapa bulan lalu kerap dilemparkan oleh Mahathir terhadap kepimpinan Najib? Adakah Musa Hitam sebenarnya mahu mengurangkan kredebiliti serangan Mahathir itu dan kemudian berharap bekas Perdana Menteri itu tidak lagi mengganggu pentadbiran Najib?
Jika benar pula, apakah Musa Hitam melakukannya dengan kerelaannya sendiri atau kerana diminta oleh kelompok Najib?
Sementera Pas nampaknya gembira dengan pendedahan Musa Hitam ini dan seolah-olah mendapat "senjata baru" untuk mengecam Mahathir, melihat kegigihan Mahathir dalam politik, sama ada ketika berkuasa atau ketika sudah bersara, persoalan yang timbul juga bagaimanakah bentuk jawapannya kali ini?
Mungkinkah beliau mengaku, menafi atau akan melibas balik bekas timbalannya? Tetapi yang pastinya, apa pun jawapan Mahathir nanti, beliau bukanlah seorang yang mudah mengaku kalah.
Selepas insiden MH370, dakwaan Musa Hitam dan jawapan Mahathir mengenai di mana beliau berada ketika peristiwa Memali adalah episod yang tidak kurang menariknya bagi rakyat negara ini.
Sama-sama kita tunggu debarannya. (SH 28/03/2014)
0 orang berkata:
Post a Comment