• TIAN CHUA TIAN CHUA
1 / 1
PETALING JAYA - Siapa sangka tokoh reformasi sejak awal penubuhan PKR, Tian Chua hari ini tampil membuat kejutan pada hari penamaan calon pemilihan PKR kali ini.

Hasrat penyandang Ñaib Presiden PKR itu bertanding bagi jawatan nombor dua parti nyata memecahkan kebuntuan persengketaan antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Azmin Ali.

Pergolakan yang kian meruncing dalam parti sejak akhir-akhir ini mendorong Tian Chua menawarkan diri demi menyahut amanah akar umbi bagi menambah baik struktur parti.

"Saya percaya boleh membantu untuk memperkukuhkan akar umbi.

"Saya adalah salah seorang pemimpin paling kanan sekali sejak penubuhan parti. Saya juga berada dalam majlis pimpinan tertinggi dan memegang jawatan naib presiden.

"Saya yakin jaringan saya dan hubungan dengan anggota parti kuat dan saya boleh menyakinkan mereka untuk memperkukuhkan organisasi," katanya kepada Sinar Harian Online, di pekarangan ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, biar pun perebutan jawatan itu akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara beliau, Abdul Khalid dan Azmin, namun beliau mahu pertandingan berjalan baik dengan persaingan sihat.

"Pemilihan ini satu persaingan sihat kerana parti kita adalah parti pertama yang mengamalkan persaingan secara terbuka dan kita memberi hak kepada setiap anggota untuk memilih pemimpin mereka.

"Ini adalah satu pertandingan persahabatan, ia tidak akan menjejaskan hubungan baik saya dengan pemimpin lain," katanya.

Beliau juga berharap pemilihan PKR kali ini dapat menyuburkan tradisi demokrasi dan meremajakan semula parti bagi menghadapi dunia politik yang kian mencabar.

Proses penamaan calon pemilihan PKR hari ini berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang nanti.

Antara tokoh yang menjadi perhatian media bagi mengisi jawatan penting parti ialah jawatan Presiden - Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden - Azmin, Abdul Khalid dan Tian Chua dan Naib Presiden - N.Surendran.