• dun balingian
1 / 1
MUKAH - Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Balingian bermula pada pukul 8 pagi ini dengan 13,233 pengundi biasa akan menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka 21 pusat pengundian melibatkan 16 buah sekolah rendah dan menengah, tiga dewan serba guna/balai raya serta dua rumah panjang.   


Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, daripada 21 pusat pengundian itu pusat undi di Sekolah Kebangsaan (SK) St Patrick Mukah di Kuala Lama mempunyai jumlah pengundi terbanyak iaitu 1,323 orang dan akan ditutup pada pukul 5 petang.


"Pusat mengundi SK Kuala Kenyana Mukah dari daerah Kenyana mempunyai jumlah pengundi paling sedikit iaitu 152 pengundi dan akan ditutup pada pukul 2 petang," katanya.


PRK Balingian menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon BN iaitu bekas pegawai daerah Dalat Yussibnosh Balo, 48, dan seorang ahli perniagaan Abdul Jalil Bujang,55, daripada PKR.


Yussibnosh adalah anak tempatan manakala Abdul Jalil berasal dari Bintulu, tiga jam perjalanan darat dari Mukah.


Yussibnosh akan mengundi di Dewan Serba guna Kampung Tellian Tengah, Mukah yang terletak tidak jauh daripada kediaman ibu bapanya manakala Abdul Jalil bukan pengundi berdaftar di Dun itu.


Proses pengundian awal PRK Dun Balingian berlangsung pada 25 Mac lepas dengan 132 atau 99.25 peratus pengundi awal menjalankan tanggungjawab di Dewan Serba guna Ibu Pejabat Polis Mukah.


SPR menjangka 10,586 atau 80 peratus pemilih akan keluar mengundi hari ini. - Bernama