Monday, March 31, 2014
MH370: Kenali Keangkuhan Lautan Hindi Yang Sepi
MH370 didakap Lautan Tebusan
Oleh NOR IDAYU BOSRO
Oleh NOR IDAYU BOSRO
DASAR Lautan Hindi dipercayai berceranggah dan sentiasa berubah kerana aliran magma daripada gunung berapi.
KETIKA Fernando
Schnabl sedang menanti isteri dan anak lelakinya tiba di Lapangan
Terbang Charles de Gaulle, Perancis, dia dikejutkan dengan berita
kehilangan pesawat Air France 447 (AF447).
Pesawat jenis Airbus A330 itu dinaiki pasangan anak-beranak tersebut untuk pulang daripada percutian mereka di Brazil.
Fernando bersama anak perempuannya, Celine terlebih dulu tiba di Perancis menerusi pesawat berasingan.
“Kami dalam
perjalanan pulang apabila salah seorang anak kapal memberitahu sebuah
pesawat yang berlepas dari Rio de Janeiro hilang daripada radar,” cerita
Fernando seperti dipetik portal Daily Mail.
Dalam kejadian pada 1 Jun 2009, pesawat berkenaan telah terhempas di Lautan Atlantik menyebabkan 228 penumpang terbunuh.
Turut terkorban ialah isteri Schnabl, Christine dan anak lelakinya, Philipe.
Operasi SAR
dilakukan pada keesokan harinya namun harapan untuk menemui mangsa yang
selamat adalah tipis meskipun dibantu dengan teknologi paling canggih.
Menurut
jurucakap tentera laut Perancis, Hugues du Plessis d’Argentre, kedalaman
Lautan Atlantik yang mencecah 3,926 meter (m) membuatkan misi mencari
menjadi sukar.
“Kami terpaksa berhadapan dengan laut bergelora, angin kencang dan keadaan laut yang tidak menentu,” katanya.
Selepas 25 hari, pasukan SAR menghentikan operasi mencari setelah gagal menemui kotak hitam pesawat itu.
Bagaimanapun, kotak hitam tersebut ditemui dua tahun kemudian.
Cabaran untuk
mengesan kotak hitam AF447 yang terhempas enam tahun lalu itu hampir
serupa dengan usaha mencari kotak hitam pesawat Malaysia Airlines MH370
yang hilang sejak 8 Mac lepas.
Meskipun
demikian, ada yang menyifatkan usaha mencari pesawat jenis Boeing 777
itu lebih sukar kerana ia hilang secara misteri, tidak seperti AF447
yang diketahui kedudukannya.
Paling menakutkan
Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu sidang akhbar pada 24 Mac
lalu mengesahkan perjalanan MH370 berakhir di Lautan Hindi.
Sejurus selepas
berita sedih itu disampaikan, usaha pasukan SAR yang membabitkan 12
negara terus bertumpu ke arah mencari kotak hitam pesawat berkenaan di
selatan lautan itu.
Pakar pencari
bangkai pesawat dalam laut Amerika Syarikat (AS), David Mearns yang
pernah terlibat dalam operasi mencari serpihan AF447 mengakui misi
mencari komponen pesawat MH370 di Lautan Hindi tidak sama seperti yang
disertainya di Lautan Atlantik sebelum ini.
“Berbanding
Lautan Atlantik yang terletak di antara benua Afrika dan Amerika, Lautan
Hindi sangat terpencil dan jarang dilalui kapal-kapal dagang,” kata
Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Jaringan Industri dan Masyarakat
Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr. Rizal Arshad.
Maka tidak hairanlah, lautan ketiga terbesar di dunia itu terkenal dengan jolokan The Lonely Ocean atau Lautan Sepi.
Menurut Rizal,
Lautan Hindi mempunyai kedalaman sembilan hingga sepuluh kali ganda
berbanding ketinggian Menara Berkembar Petronas iaitu 420m.
Tambahnya,
dengan kedalaman mencecah 4,000m, lautan itu turut mempunyai arus yang
kuat selain dasarnya yang gelap dan kerap berubah.
“Di sesetengah
kawasan seperti Jurang Jawa, kedalamannya mencecah 7,000m. Jika kotak
hitam tersebut bergerak atau dilitupi pasir di dasar laut, ia akan
merencatkan isyarat yang boleh diberikan,” katanya.
KENDERAAN kawalan jauh dalam air (ROV) boleh digunakan pada kedalaman 6,000m
Perkara itu
turut dipersetujui ahli oseanografi dari Universiti New South Wales di
Australia, Erik Van Sebille yang menyifatkan Lautan Hindi sebagai
kawasan yang paling menakutkan di muka bumi.
“Secara umum,
bahagian selatan Lautan Hindi merupakan kawasan laut paling bergelora.
Pada musim sejuk, jika berlaku ribut, anda boleh melihat ombak setinggi
10 hingga 15 meter.
“Cuaca tidak menentu, ombak ganas dan laut bergelora. Keadaan ini amat berbahaya walaupun untuk kapal-kapal besar.
“Malah, arus di
bahagian itu merupakan antara yang paling deras di dunia,” jelasnya
sambil memberitahu, lautan itu juga dikenali dalam kalangan pelaut
sebagai ‘Lautan Tebusan’ .
Cuaca buruk
Selain itu,
keadaan cuaca dengan angin kencang yang dikenali sebagai Roaring Forties
turut menambahkan kesulitan operasi SAR di kawasan tersebut.
Perkataan roaring merujuk kepada tiupan angin barat yang sangat kuat sehingga menyebabkan ribut kencang.
Istilah forties
pula merujuk kepada lokasi kedudukan garis lintang selatan yang
terletak pada latitud 40 dan 50 darjah di hemisfera selatan.
Bekas penasihat
penerbangan tentera Universiti Newcastle, Martin Babakhan memberitahu,
fenomena alam yang kerap terjadi di kawasan itu berpunca daripada
lokasinya yang terletak di zon peralihan antara daerah subtropika yang
tenang dengan kawasan pusaran sejuk di sekitar Kutub Selatan.
Menurutnya, kelajuan angin yang mencapai 200 kilometer sejam (kmj) menyebabkan laut bergelora dan ribut kuat di tengah lautan.
“Peralihan
musim telah bermula dan ini bererti udara sejuk dari Antartika bergerak
ke atas dan udara panas bergerak ke bawah mewujudkan cuaca yang buruk,”
katanya.
Dalam pada itu,
Perunding keselamatan penerbangan, Geoffrey Thomas memberi amaran
bahawa keadaan cuaca di lautan yang terletak berdekatan benua Antartika
itu semakin buruk apabila tiba musim sejuk.
“Keadaan yang amat sejuk sedang menghampiri. Keadaan laut akan bergelora dengan hujan lebat serta awan rendah.
“Laut akan
menjadi seperti sebuah kawah buih dengan warna putih melitupi sebahagian
besar permukaan air. Ia sangat berbahaya untuk berada di sana,” katanya
Thomas menambah, keadaan itu merupakan suatu petanda yang tidak menyenangkan.
“Ini adalah
permulaan musim sejuk. Keadaan seperti ini adalah kejadian yang berlaku
setiap hari di kawasan lautan Hindi. Ia adalah musim sejuk selama lapan
bulan pertama untuk tahun ini dan sepanjang tempoh tersebut, lokasi ini
adalah tempat paling dahsyat di dunia,” jelasnya.
Thomas
mengandaikan usaha mendapatkan semula bangkai pesawat mungkin mengambil
masa berbulan-bulan dalam keadaan cuaca sedemikian.
“Sungguh malang jika serpihan pesawat MH370 ditemui di kawasan itu. Ia seolah-olah satu mimpi ngeri,” ujarnya.
Apa pun situasi
yang perlu dihadapi, pasukan SAR kian kesuntukan masa untuk mencari
kunci utama bagi menyelesaikan misteri tragedi pesawat MH370 iaitu kotak
hitam pesawat tersebut.
Jangka hayat
bateri kotak elektronik yang berfungsi merekod data rakaman penerbangan
hanya mempunyai masa kurang dari seminggu sahaja lagi untuk dikesan
sebelum kuasa baterinya menjadi semakin berkurangan.
Untuk mengesan
isyarat tersebut, pasukan SAR menggunakan alat pendengaran berteknologi
tinggi yang dipinjamkan oleh Tentera Laut AS iaitu Towed Pinger Locator.
Situasi ini sama seperti operasi mengesan bangkai pesawat AF447.
Pemangku
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Towed
Pinger Locator akan dipasang pada kapal milik tentera laut Australia,
Ocean Shield.
“Kapal itu akan menuju ke kawasan pencarian dan dijangka tiba pada 5 April depan,” ujarnya.
0 orang berkata:
Post a Comment