• Kerajaan belanja RM5.46 bilion bina rumah rakyat  
  • Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan para pelajar Kolej Vokasional Sandakan ketika melakukan lawatan kerja di kolej itu di Sandakan hari ini. Turut sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman. Muhyiddin melakukan lawatan rasmi dua hari ke Sabah bermula hari ini. - Foto Bernama
1 / 1
SANDAKAN - Kerajaan membelanjakan sebanyak RM5.46 bilion bagi membina rumah mampu milik untuk rakyat sejak Rancangan Malaysia Ke-Lapan (RMK8) dilaksanakan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata penyediaan rumah itu adalah komitmen dan agenda utama Barisan Nasional (BN) bagi memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang selesa dan selamat.

"Kerajaan BN telah meletakkan agenda penyediaan rumah rakyat selesa sebagai agenda penting negara.

"Ia perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin kerana kerajaan sedar ia membolehkan rakyat menjalani kehidupan yang lebih baik," katanya pada majlis penyerahan Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila di Jalan Labuk dekat sini, hari ini.

PPR Sungai Manila yang setinggi lima tingkat mengandungi 14 blok dengan 1,000 unit rumah pangsa. Ia dibina dengan kos sebanyak RM121.7 juta di kawasan seluas 10.591 hektar.

Muhyiddin berkata kerajaan BN juga menunaikan janjinya untuk membina 1 juta unit rumah rakyat dalam tempoh setahun.

Dalam sidang berita kemudian, Timbalan Perdana Menteri berkata penubuhan Majlis Perumahan Negara (MPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lepas membuktikan komitmen tinggi kerajaan terhadap penyediaan perumahan untuk rakyat.

Menurutnya MPN mengadakan mesyuarat pertamanya dua minggu lepas bagi memberi tumpuan kepada dasar pembangunan perumahan dan pelaksanaan beberapa projek perumahan.

"Kerajaan mahu memastikan pelan pembinaan rumah untuk rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang, adalah tersusun dan dilaksanakan di seluruh negara berdasarkan beberapa skim perumahan termasuk yang terbaharu, MyHome, serta PPR untuk penjawat awam, pendapatan kecil dan sederrhana," katanya.

Beliau yakin penubuhan MPN membolehkan pelaksanaan rumah mampu milik untuk rakyat dilaksanakan lebih terancang dan tersusun. - Bernama