• Anwar ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, semalam. Anwar ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, semalam.
1 / 1
KOTA  BHARU - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan semua pihak termasuk jentera partinya agar tidak terlalu berpolitik ketika keadaan rakyat di Pantai Timur khususnya Kelantan menghadapi musibah banjir.

Anwar berkata, dalam keadaan sekarang, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan perlu memberi tumpuan terhadap usaha meringankan beban mangsa banjir.
“Saya mohon supaya semua pihak beri tumpuan kepada kerjasama dan bagi ruang serta peluang kepada semua yang mahu membantu, jangan ada cengkaman politik mahupun diskriminasi.

“Jangan lihat dari segi kepentingan politik, lihat kepada kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini, untuk melawat mangsa banjir di negeri ini, semalam.

Ketika mengulas dakwaan mengatakan beliau tidak sensitif kerana masih berada di luar negara walaupun banjir besar melanda Kelantan, Anwar memberi alasan faktor tiket kapal terbang sebagai halangan beliau bersama rakyat.

“Saya minta maaf kalau saya lambat datang. Memang saya tiada ada keupayaan untuk balik segera kerana tidak ada penerbangan, tempahan tiket tidak boleh ditukar.

“Gambar saya mengayuh basikal yang disebarkan itu sebenarnya sebelum banjir lagi, takkan saya naik basikal sebelum banjir pun nak dijadikan isu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dalam tempoh bencana tersebut, beliau sentiasa mendapatkan maklumat melalui pimpinan parti yang berusaha untuk memberi bantuan sewajarnya.

Katanya, dalam keadaan genting itu, tidak perlu mengumumkan peruntukan wang berjuta-juta, sebaliknya apa yang penting menyegerakan bantuan makanan dan keperluan lain kepada mangsa banjir.