• Dyana Sofya
1 / 1
PILIHANRAYA kecil (PRK) kerusi Parlimen Permatang Pauh adalah menjadi hak pengundi untuk menentukan siapa yang akan dipilih menjadi wakil rakyat mereka.
 
Pensyarah kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib berkata, PKR bebas untuk memilih sesiapa sahaja calon yang dirasakan layak untuk bertanding kerusi itu.
 
"Namun begitu, sekiranya betul seperti cakap-cakap sebelum ini bahawa anak penyandang kerusi itu (Datuk Seri Anwar Ibrahim), Nurul Nuha akan dipilih sebagai calon, ia kelihatan tidak manis seolah-olah mengenepikan kewibawaan pemimpin sedia ada dalam PKR terutama kepimpinan PKR Permatang Pauh.
 
"Saya juga berpendapat PKR tidak sanggup mengorbankan Permatang Pauh dengan meletakkan calon Pas sebagai contoh Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu (Mat Sabu) seperti yang disebut-sebut oleh sesetengah pihak untuk bertanding di situ," katanya.
 
Md Shukri yakin kerusi Permatang Pauh akan kekal ditandingi PKR kerana umum sedia maklum ia melibatkan Anwar secara peribadi.
 
Namun, beliau berpendapat sekiranya DAP Pulau Pinang ingin memperkukuhkan kedudukan mereka sebagai parti paling dominan dalam pakatan pembangkang di Dewan Rakyat daripada segi bilangan, maka calon Melayu daripada parti itu wajar diketengahkan.
 
"Mungkin calon DAP pada PRK Parlimen Teluk Intan sebelum ini Dyana Sofea Mohd Daud boleh diberikan peluang sekali lagi untuk bertanding di Permatang Pauh sebagai calon anak muda," katanya.
 
Anwar, 67, hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen apabila habis tempoh 14 hari dari tarikh beliau disabitkan dan dihukum atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
 
Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Anwar dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan.
 
Namun, sekiranya Anwar memfailkan petisyen bagi suatu pengampunan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman Mahkamah Persekutuan, kehilangan kelayakan berkenaan hanya akan berkuatkuasa sebaik petisyen itu diputuskan sebagaimana diperuntukkan di bawah perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan. - Bernama