SHAH ALAM - Program jelajah bagi menerangkan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dihentikan kerana ia dilihat lebih bertujuan untuk memburukkan reputasi Anwar yang tidak berpeluang membela diri.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, dalam forum pertama yang dianjurkan Pemuda Umno di Kelana Jaya, minggu lalu, ketua pendakwa raya kes Anwar itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat penerangan yang didakwa bersifat sangat lucah.


Katanya, pendedahan itu melibatkan maklumat terperinci yang tidak dibentangkan dalam mahkamah terbuka sepanjang tujuh tahun pembicaraan kes itu berjalan.


"Adakah ini bertujuan menerangkan kepada orang awam atau untuk memburukkan reputasi Anwar yang kini meringkuk dalam penjara dan tidak berpeluang membela dirinya?


"Membunuh karakter Anwar di dalam forum itu tanpa Anwar berpeluang membela diri, sangat menjijikkan, sama sekali tidak beretika, tidak Islamik dan pengecut," katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Menurutnya, dalam perundangan Islam, seseorang yang menuduh orang lain melakukan perbuatan homoseksual mesti membawa empat orang saksi terhadap perlakuan itu.


Mohd Azmi berkata, cara terbaik untuk menyelesaikan isu membabitkan kes Anwar ialah dengan mengadakan siasatan awam yang bebas terhadap dakwaan Anwar bahawa wujud konspirasi politik terhadapnya.


Katanya, kerajaan dan rakyat Malaysia juga perlu menumpukan kepada cabaran lebih utama yang sedang dihadapi negara, iaitu ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan alam sekitar.